BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya telah masuk ke kawasan sebuah masjid kemudian ada seorang perempuan memberitahu saya bahawa malam semalam terdapat anjing yang masuk ke kawasan masjid, saya ingin menggunakan tandas Dan beliau memberitahu saya tandas di mana, saya bergerak ke arah tandas, selepas saya membuka kasut Dan stokin untuk ke tandas saya ada pijak air di lantai Dan terdapat 2 orang lelaki sedang membasuh kawasan masjid Dan Salah seorang dari mereka memberitahu bahawa mereka sedang sertu jadi tandas tidak boleh digunakan. Saya tak pasti air yang sy pijak berubah warna atau tidak kerana tidak fokus ketika itu, setakat saya ingt air tiada warna, saya jadi ragu2 warna air yg saya pijak kerana seingat saya ada kawasan berdekatan situ ada seakan2 tanah (saya tak pasti itu tanah atau najis atau tanah sertu kerana kawasan yg mereka basuh kawasan lain) . Persoalannya adakah saya perlu sertu kaki saya, Dan kawasan yang telah saya pijak berhari2 di dalam rumah? Saya betul2 perlukan jawapan kerana was was yang teruk.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis melalui ain, warna dan rasa. Namun jika tidak dapat dipastikan sama ada yang dipijak oleh kawasan itu najis ataupun bukan najis. Maka para ulama telah memberikan garis panduan berkenaan perkara ini. Di antaranya adalah kaedah yang masyhur iaitu :

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya : Asal bagi satu hukum adalah mengekalkan dia sepertimana hukum sebelumnya. 

Hukumnya tidak perlu menyertu kaki tersebut. Hal ini kerana pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan(syak).

Justeru, puan hendaklah mengambil jalan yang yakin bahawa lantai tersebut telah suci daripada najis dan tidak perlu untuk berwaswas atau syak wasangka bahawa sama ada kaki itu masih lagi bernajis ataupun tidak.  

Kesimpulannya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Adapun, bekas tapak kaki atau kawasan laluan anjing yang sukar untuk dielakkan kecuali melaluinya termasuk dalam perkara ‘umum balwa’ iaitu perkara yang sukar dielakkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 26

message user image