BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah. Saya ada soalan berkenaan nafkah. Suami saya sediakan barang keperluan dapur (lauk) sahaja. Barang keperluan rumah hampir 70% duit saya sendiri. Rumah kongsi bayar separuh dan bil telefon saya perlu bayar bernilai rm100++, manakala pakaian, perubatan, alatan mandi, barang penjagaan diri saya beli sendiri. Namun suami menegaskan bahawa dia telah memberi duit poket bernilai hanya rm100 dan itu termasuk katanya dalam nafkah jika dia tak berikan pun tidak mengapa. Soalan saya adalah adakah dengan nilai rm100 duit poket itu dianggap mencukupi untuk dipanggil nafkah ke atas saya? Dia menganggap dengan menyediakan rumah yang dibayar bersama, bayar bill dan sediakan barang dapur (lauk) cukup sebagai nafkah saya. Suami sering berkata saya tidak bersyukur dan selalu mengungkit beliau telah sediakan nafkah mencukupi. Suami juga pernah berkata bahawa beliau telah beli lauk jika saya tidak mahu memasak mahu makan diluar saya harus bayar sendiri  bukan tanggungjawab beliau ke atas saya dalam bab nafkah makanan dan tidak berdosa jika beliau tidak memberi saya makan. Adakah benar? Sekian terima kasih. Saya harap dapat menjawab kemusykilan saya supaya saya redha ke atas nasib saya


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Perbahasan berkenaan nafkah antara suami isteri telah dibincangkan oleh para ulama secara panjang lebar. Sebahagian ulama seperti Shaikh Mustofa Abdunnabi dalam syarahnya ke atas al-Yaqut al-Nafis 2/288 menyenaraikan kewajipan nafkah zahir yang perlu dipenuhi oleh seorang suami, antaranya makanan asasi yang mana termasuk beras dan selebihnya, pakaian, penginapan, tempat berehat, tempat untuk tidur, peralatan bersuci, peralatan dapur dan sebagainya. Oleh itu, adalah sepatutnya suami puan menyediakan segala keperluan yang termasuk dalam kategori nafkah zahir. 

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, pemberian nafkah suami kepada isterinya adalah mengikut kemampuan suami, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah at-Talaq ayat 7:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍۢ مِّن سَعَتِهِۦ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَا ۚ سَيَجْعَلُ ٱللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍۢ يُسْرًۭا

Maksudnya : Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah SWT kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah SWT akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

Seorang bapa wajib memberikan makanan dan pakaian kepada isterinya sesuai kemampuannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 233:

وَعَلَى ٱلْمَوْلُودِ لَهُۥ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Seseorang tidak dibebankan melainkan menurut kemampuannya.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Talaq ayat 6:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَآرُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا۟ عَلَيْهِنَّ ۚ

Maksudnya : Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

Dalil-dalil di atas menjelaskan bahawa suami bertanggungjawab memberikan tempat tinggal, makanan, pakaian kepada isterinya sesuai dengan kemampuannya. Dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang di luar kemampuan suaminya

Suami isteri perlu sentiasa berunding dengan hikmah dan berbincang secara harmoni bagi memastikan pengurusan nafkah dapat disalurkan dengan sempurna dan memenuhi tuntutan syarak.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 39

message user image