Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalammualaikum.
saya ada bergaduh dengan suami baru baru ini dan dia ada cakap "selepas kita stabil cerai". dia banyak kali cakap makin lama makin rasa nak cerai. Adakan sudah jatuh talak kepada saya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan ayat suami iaitu: "selepas kita stabil cerai" adalah ayat berbentuk khabari (perkhabaran atau hasrat). Maksudnya selepas stabil nanti, barulah suami akan menceraikan isterinya. Ucapan tersebut tidak membawa kepada berlakunya talak secara taklik. Ini kerana lafaz talak taklik hendaklah bersifat insya'i (berkuatkuasa). Contoh ayat : "Selepas stabil nanti, jatuhlah talak" (talak taklik yang dikaitkan dengan tempoh). Namun begitu, situasi stabil yang dimaksudkan suami juga perlu difahami konteksnya.
Justeru, talak belum lagi jatuh. Sekiranya puan ingin mendapatkan penjelasan lanjut boleh hubungi pihak Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran tempat tinggal berkenaan perkara ini.
Sekian, terima kasih.