BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah.

 

Saya ada 2 soalan dan kebimbangan yang memerlukan penjelasan daripada pihak agamawan. Setiap pertanyaan dan masalah yang saya hadapi telah lama. Tetapi saya tidak tahu nak dapatkan bantuan siapa. Saya mohon sangat pihak ustaz dan ustazah dapat membantu saya.

1. Saya ada masalah anxiety yang teruk terhadap makan minum dan air. Semua bermula sejak saya pitam setelah minum seteguk air. Pada masa itu, saya baru siap mengemas rumah, saya rasa haus dan terus minum air dalam keadaan yang sangat penat. Tiba-tiba saya pitam. Hingga kini saya tidak akan makan dan minum jika saya berada di dalam keadaan penat kerana saya merasakan yang saya akan mati jika saya berbuat demikian. Hal ini mengganggu aktiviti harian kerana badan saya akan lemah kerana sering tidak cukup air. Hal ini bertambah teruk bermula pada tahun ni. Saya jadi takut untuk mengambil wuduk dalam keadaan penat, kerana bimbang air tersebut akan menyebabkan saya mati ketika saya berkumur. Oleh demikian, saya ambil wuduk tidak sempurna kerana tidak berkumur-kumur. Saya jadi tak keruan hingga kini kerana saya tahu solat saya tak sah tanpa wuduk yang sempurna. Tapi saya terlalu takut untuk berkumur waktu wuduk. Apa hukum solat saya? dan apa yang harus saya lakukan? saya sering berdoa supaya Allah sembuhkan anxiety saya supaya saya boleh berwuduk dan solat dengan lebih baik dan sempurna. Mohon bantuan pihak agamawan untuk selesaikan masalah saya ini. 

2. Saya dan suami secara luarannya tidak mempunyai masalah. Tapi dari segi emosi saya rasa terlalu kosong dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Suami saya seorang yang baik dan bertanggungjawab. Cuma dia sering meletakkan diri dia seperti di darjat yang tertinggi seorang suami hingga dia merasakan saya bukan isteri yang baik. Dia pernah menyuruh saya untuk menjadi isteri yang baik supaya tak masuk neraka. Saya jadi tergamam kerana dia selalu berkata begitu bila kami bergaduh. Pada pihak saya, saya hormatkan suami tapi disebabkan beberapa perkara menjadikan saya hilang sabar. Sebagai contoh tabiat merokok, bermain game, lalai dalam solat, bahasa yang kasar. Apa yang harus saya lakukan ustaz? Saya juga pernah beberapa kali minta dilepaskan jika dia tak redha dengan saya. Saya tidak dapat menerima tabiat dia seperti yang saya katakan diatas. Tapi dia bersungguh hendak pertahankan rumahtangga ini tapi dalam masa yang sama tidak mahu berubah malah menganggap saya bukan isteri yang baik. Pada saya, sampai bila saya hendak hidup dengan suami yang tidak redha dengan saya dan sering anggap saya bukan isteri yang baik kerana kerap menegur perbuatan dia yang tak saya sukai. Saya rasa hidup dalam dosa kerana suami saya fikir saya begitu. Mohon bantu saya.

 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

1) Hukum berwuduk tetapi tidak berkumur adalah sah kerana ia merupakan perkara sunat ketika berwuduk. Hal ini dijelaskan dalam Fath al-Muin seperti berikut:

فَمَضْمَضَ فَاسْتَنْشَقَ لِلِاتِّبَاعِ

Maksudnya: Kemudian (disunatkan) berkumur-kumur dan menyedut air ke hidung, sebagai mengikuti sunnah.

Justeru solat sah dilakukan dengan wuduk yang tidak disertai kumur-kumur kerana ia bukanlah rukun wuduk. Dalam berwudhu, ada enam rukun yang wajib dilakukan agar menjadi sah. Enam rukun tersebut adalah: Niat, Membasuh wajah, Membasuh kedua tangan sehingga ke siku, Mengusap sebahagian kepala, Membasuh kedua kaki sehingga buku lali dan Tertib.

2) Puan tidak berdosa kerana menegur perbuatan suami yang salah selagi teguran dibuat dengan penuh adab. Tanggungjawab puan hanyalah menunaikan hak suami dalam perkara yang baik, manakala dosa suami atas kelalaiannya ditanggung oleh dirinya sendiri. Ungkapan suami bahawa puan bukan isteri yang baik tidak menjadikan puan berdosa di sisi Allah SWT. Jalan terbaik ialah berbincang secara bersama atau mendapatkan khidmat kaunseling perundingan keluarga daripada pihak Jabatan Agama Islam Selangor. Semoga Allah SWT mempermudahkan kehidupan puan sekeluarga dengan rahmatNya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 24

message user image