Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan ; adakah jatuh taklik saya atas isteri saya?
Lafaz taklik : berlaku pergaduhan dan dia minta suatu janji u tidak berulang. Tidak curang. Hanya tuduhan semata2. Lafaz itu berbunyi 'jika aku curang, kita bercerai'
Rentatan : terkejut dengan taklik yang dibuat, kami bersepekat untuk tarik balik taklik dengan berpegang pada mazhab hanafi
Berlaku pergaduhan : tidak curang. Tp kes cemburu. Dia tuntut sebagai jatuh taklik. Dia menyatakan taklik itu atas dasar menyakitkan hati dia jika berkaitan dengan wanita. Sedangkan lafaz dan niat jika saya berlaku curang. Malah ini tiada kena mengena.
Pandangan : mohon pendapat tuan?
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan, lafaz taklik talak iaitu taklik yang dibuat oleh suami kepada isterinya atas kehendaknya sendiri dan ia tidak boleh ditarik balik menurut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi‘i sekiranya taklik itu sah dan berlaku selepas akad nikah, kerana ia termasuk dalam hukum mu‘allaq iaitu talak yang bergantung kepada syarat samada syarat itu dilanggar atau sebaliknya.
Sekiranya suami tidak curang atau tidak melakukan sebarang pelanggaran sepertimana syarat yang dinyatakan dalam lafaz taklik itu, maka talak tidak jatuh. Walaubagaimanapun, untuk makluman pihak tuan, pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, apatah lagi pihak isteri mendakwa yang suaminya curang, maka adalah disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih