Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya dan suami telah sepakat agar suami sy melafazkan taklik seperti petikan dibawah "Bismillahirrahmanirrahim..
Saya .... NAMA SUAMI.... dalam keadaan sedar & Waras dengan ini bertahlik bahawasanya jika saya ada berhubungan dengan mana-mana perempuan lagi selepas dari tarikh 20/11/2022 atas tujuan curang/berkasih sayang Maka jatuhlah talak 1 ke atas isteri saya ...... NAMA ISTERI....
Semasa lafaz ini dibuat, saya bersetuju memaafkan suami saya yang telah setahun curang dan dia berjanji tidak akan ulang lagi. saya meletakkan syarat agar suami sy bertaklik seperti diatas sekiranya dia benar benar memilih saya bukan perempuan tersebut. Baru2 ini sy mengesan Whatsapp suami saya dengan seorg perempuan yang berbau curang lagi, iaitu membahasakan diri sebagai "syg" dalam perbualan mereka. Adakah lafaz taklik ini boleh dibawa ke mahkamah untuk disahkan? Masalah saya sekarang lafaz taklik ini adalah melalui Whatsapp dan tanpa saksi.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Lafaz taklik tersebut boleh dirujuk ke Mahkamah Syariah yang berdekatan kerana pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Walaupun lafaz dibuat melalui medium whatsapp dan tiada saksi, namun Mahkamah Syariah mempunyai mekanisme dan pendekatan yang berautoriti dalam mengadili dan mengendalikan kes tersebut dan seterusnya menentukan kesahihan lafaz tersebut samada ia boleh menyebabkan jatuh talak atau sebaliknya.
Sekian, terima kasih