Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya nak bertanya mengenai solat. Saya mempunyai penyakit Cervical Dystonia dimana ada masalah saraf di leher dan saya tidak dapat mengawal pergerakan leher kerana leher saya akan sentiasa bergerak ke kanan. Saya mengidap penyakit sudah lebih 5 tahun dan masih menerima rawatan hospital.
Soalan saya, apakah hukum dalam solat dimana saya tak dapat mengawal pergerakan leher semasa solat dan saya terpaksa memegang/memusing leher ke depan ketika solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Ibadah solat seperti ibadah-ibadah yang lain di mana terdapat syarat, rukun dan larangannya. Perbuatan tambahan dalam solat boleh dibahagikan kepada dua kategori; perbuatan yang serupa dengan perbuatan solat dan perbuatan yang tidak serupa dengan perbuatan solat. Mengikut mazhab Syafi'i, perbuatan tambahan yang tidak menyerupai perbuatan solat jika dilakukan dengan banyak akan membatalkan solat.
Namun, jika perbuatan tersebut berlaku tanpa boleh dielakkan seperti penyakit sebagaimana situasi yang dinyatakan, maka ia dimaafkan dan solatnya sah.
Sekian, terima kasih.