BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Saya dan isteri menjalani perkahwinan jarak jauh (PJJ), hanya dapat bertemu sebulan sekali disebabkan faktor kos dan masa. Ketika bertemu, isteri saya mengetahui bahawa saya telah menonton video perempuan seksi untuk memuaskan nafsu (onani). Isteri menganggap perbuatan itu sebagai kecurangan dan menuntut cerai. Ini adalah kali kedua kejadian ini berlaku, dan isteri saya telah nekad keluar dari rumah, pulang ke kampung dan memfailkan perceraian.

Beberapa jam selepas itu, isteri meminta saya untuk bertemu dan memberi kata dua: jika saya menonton video tersebut lagi, talak akan jatuh, atau dia akan meneruskan perceraian. Dalam kedaan yang masih terkejut, hiba dan binggung, saya menurut saja permintaan isteri dan melafazkan 3 ayat seperti berikut:
1. "Kalau abg tonton video perempuan seksi lagi, jatuh talak"
2. "Kalau abg tonton video perempuan seksi dan puaskan nafsu, jatuh talak"
3. "Kalau abg tonton video perempuan seksi selain syg, dan puaskan nafsu, jatuh talak"

Lafaz pertama terasa umum kerana saya lafazkan dalam keadaan bingung, tapi dalam fikiran saya merujuk kepada menonton video tersebut sambil berbuat onani. Setelah termenung, saya baru sedar lafaz pertama itu terlalu umum, lalu saya lafazkan yang kedua. Selepas termenung lagi, saya terfikir seandainya saya menonton video isteri saya sendiri, jadi saya lafazkan lafaz ketiga.

Soalan 1: Saya telah mengucapkan tiga lafaz yang berbeza tetapi dengan maksud yang sama. Lafaz yang mana satu yang sah dan diambil kira?

Soalan 2: Adakah talak bergantung hanya pada lafaz yang diucapkan, atau juga pada niat semasa lafaz tersebut? Saya khuatir jika saya tidak sengaja melanggar lafaz talak pertama, kerana sering terdedah kepada video wanita seksi di media sosial, walaupun tanpa niat untuk memuaskan nafsu.

Suami yang binggung.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Lafaz yang diungkapkan oleh tuan kepada isteri itu adalah merupakan taklik talak iaitu mengaitkan jatuh atau berlaku talak dengan sesuatu perkara, namun begitu niat suami juga diambil kira dalam penentuan lafaz taklik ini. Oleh yang demikian, dalam menjawab pertanyaan tuan :

1. Lafaz yang dikira sah atau diambil kira dalam penentuan hukum adalah sebagaimana yang tuan niatkan di antara ketiga-tiga lafaz tersebut.

2. Di dalam perkara taklik talak, jika lafaz yang diucapkan adalah sorih atau jelas, maka taklik talak akan berlaku walaupun tanpa niat. Namun sekiranya lafaz yang digunakan adalah lafaz kinayah atau sindiran, maka taklik talak akan berlaku jika disertai dengan niat ketika melafazkannya. Manakala di dalam menentukan syarat di dalam taklik talak, ia boleh ditentukan oleh niat.

Walau bagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 30

message user image