BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada beberapa soalan tentang solat qada; 1)sekiranya saya tertinggal solat subuh,zohor,asar dan maghrib, selepas itu saya ingin qada, and then saya solat maghrib dulu baru asar pastu zohor, sekian2. Soalan saya, adakah itu sah? 2)sekiranya saya tidak ingat berapa banyak solat yg saya pernah tinggal, apa yg perlu saya buat? Itu sahaja soalan dari saya, semoga ustaz dpt menjawab pertanyaan saya..terima kasihh


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan saudara, disunatkan menjaga tertib (susunan) ketika menunaikan solat qadha’, iaitu dimulakan dengan solat yang paling awal tertinggal, contohnya menqadha’ solat Subuh terlebih dahulu, diikuti Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Namun begitu, jika seseorang tersilap atau menukar susunan, seperti mendahulukan solat Maghrib kemudian baru menqadha’ Asar dan Zuhur, solatnya tetap sah.

Seterusnya, bagi keadaan seseorang tidak pasti jumlah solat yang telah ditinggalkan, maka hendaklah dia menqadha’ sebanyak yang disangkakan tertinggal, dan berniat untuk menampung semua solat yang tertinggal sama ada diketahui bilangannya atau tidak.

Kaedahnya ialah seseorang boleh membuat anggaran yang munasabah contohnya jika dia yakin pernah meninggalkan solat selama sebulan, maka qadha’ mengikut kadar itu. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

اليقين لا يزول بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.

Oleh itu, yang menjadi pegangan ialah apa yang diyakini atau disangka kuat, bukan semata-mata rasa ragu atau waswas.

Sebagai tambahan, seseorang yang sedang menqadha’ solat juga didorong untuk memperbanyakkan taubat dan istighfar, kerana meninggalkan solat tanpa uzur adalah dosa besar. Qadha’ solat yang dilakukan dengan niat ikhlas dan istiqamah adalah tanda penyesalan dan usaha memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image