Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Sy ingin bertanya ttg lafaz taklik, yg mana dibuat dalam keadaan tidak rela kerana isteri mencederakan diri secara fizikal setelah mengetahui sy menggunakan wang di dalam akaun tanpa memberitahu beliau terlebih dahulu. Dan berjanji utk tidak menggunakan walau 1 sen dari akaun tersebut tanpa memaklumkan dahulu.
Baru2 ini secara tidak sengaja sy telah menggunakan, yg mana sy sangkakan ianya adalah duit dari akaun sy sdiri (1 bank & 2 akaun, 1 akaun kongsi dan 1 akaun peribadi). Adakah telah jatuh taklik?
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan :
1. Berkaitan lafaz taklik yang dinyatakan oleh tuan itu, ia perlu melihat kepada struktur ayat yang tuan lafazkan dan juga ia perlu merujuk juga kepada cara lafaz itu dibuat. Adakah ayatnya sorih (jelas) atau kinayah (sindiran) dan adakah ia dilafazkan dengan ucapan lisan atau melalui tulisan atau sebagainya. Semua kenyataan ini diambil kira dalam menentukan taklik itu sah atau pun tidak. Dalam pertanyaan ini, tuan tidak menyatakan dengan jelas fakta-fakta yang dinyatakan di atas bagi membantu menentukan taklik itu sabit atau tidak.
2. Dan di dalam menentukan ketidak relaan tuan melafazkan taklik disebabkan terpaksa kerana isteri mencederakan diri secara fizikal adakah ia suatu paksaan yang tam (sempurna) yang menyebabkan talak berlaku atau sebaliknya adalah merupakan bidang kuasa pihak Mahkamah Syariah.
Oleh yang demikian untuk kedua-dua kenyataan di atas (1) dan (2), maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara-perkara tersebut dalam kadar yang segera, kerana pihak yang berautoriti adalah Mahkamah Syariah bukan agensi selainnya sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.
Sekian, terima kasih