BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.,

Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak Mufti berkaitan dengan satu isu:

Saya baru membeli sebuah rumah yang sebelum ini dimiliki oleh orang bukan Islam. Dalam rumah tersebut, tuan rumah lama meninggalkan sebuah almari khas sejenis altar sembahyang orang Cina. Keadaan almari tersebut sekarang sudah kosong kerana berhala dan peralatan sembahyangnya telah dikeluarkan, hanya tinggal almari sahaja.

Soalan saya:

Apakah hukum saya menjual almari tersebut, memandangkan saya bimbang jika pembeli menggunakannya kembali untuk tujuan sembahyang?

Apakah hukum jika saya hanya menyimpan almari tersebut di rumah saya tanpa digunakan untuk apa-apa tujuan ibadah?

Saya mohon pandangan dan penjelasan daripada pihak Mufti agar saya dapat bertindak dengan betul menurut hukum syarak.

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan persoalan yang ditanya, sekiranya almari tersebut memang khas digunakan untuk sembahyang orang Cina, maka tidak boleh dijual kepada pembeli yang berkemungkinan menggunakannya untuk tujuan sembahyang kerana dikhuatiri akan termasuk dalam larangan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 2:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.

Manakala, sekiranya almari tersebut disimpan di rumah tanpa sebarang kegunaan, hukumnya adalah harus. Namun demikian, digalakkan untuk melupuskannya melalui kaedah yang dibenarkan, seperti membakar atau memusnahkannya dengan cara yang sesuai, bagi menutup sebarang ruang yang boleh membawa kepada kemudaratan atau salah faham. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 30

message user image