BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

Saya ingin meminta pandangan dan penjelasan daripada pihak Jabatan Agama Islam berkaitan situasi yang sedang saya alami. Bapa kandung saya telah menuduh saya melakukan zina tanpa sebarang bukti serta mendakwa saya membawa masuk lelaki ke dalam rumah. Selain itu, beliau juga menggelar saya dengan kata-kata yang tidak baik seperti "sundal" hanya kerana saya mewarnakan rambut.

Selain itu, ibu saya juga telah dituduh oleh bapa saya kononnya beliau mengandungkan anak orang lain semasa sedang mengandungkan saya dahulu. Tuduhan ini amat berat dan mengaibkan kami sekeluarga.

Oleh itu, saya ingin memohon penjelasan berkenaan perkara berikut:

  1. Apakah hukum bagi seseorang yang menuduh orang lain berzina tanpa membawa bukti yang sah?

  2. Apakah kedudukan seseorang yang menuduh isteri atau anaknya sendiri melakukan perkara keji seperti zina tanpa saksi atau bukti?

  3. Adakah berdosa atau berdosa besar jika seorang suami menuduh isterinya berzina semasa mengandungkan anak?

  4. Apakah langkah atau tindakan yang boleh saya dan ibu ambil menurut syariat Islam untuk melindungi maruah kami dan mendapatkan keadilan?

Saya mohon sangat-sangat agar pihak Tuan/Puan dapat memberikan pencerahan dan nasihat. Segala kerjasama amat saya hargai. Terima kasih.

Wassalam.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Semoga Cik sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT. Penjelasan bagi soalan-soalan tersebut adalah seperti berikut:

Menurut istilah syarak, qazaf (قذف) ialah tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/427)

Manakala sebahagian ulama mendefinisikan qazaf (قذف) sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.

1. Perbuatan menuduh seseorang berzina tanpa sebarang bukti yang sah dianggap sebagai dosa besar dan dijanjikan dengan hukuman yang berat mengikut syariat Islam, iaitu hukuman qazaf. Perbuatan qazaf juga turut dikira sebagai jenayah mengikut Enakmen negeri Selangor.

2. Perbuatan menuduh isteri atau anak sendiri melakukan perkara keji seperti zina tanpa saksi atau bukti merupakan salah satu dosa besar dan dakwaan boleh dibuat terhadap orang yang melakukan tuduhan. Sesiapa yang membuat tuduhan zina terhadap wanita Muslim walaupun isterinya boleh dikenakan hukuman. 

3. Perbuatan tersebut dikira sebagai dosa besar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Maksudnya: Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Lalu para sahabat bertanya: Apakah perkara-perkara tersebut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: "Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Dalam konteks ini, tindakan yang boleh diambil adalah dengan hadir ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal bagi mendapatkan pandangan untuk tindakan lanjut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 41

message user image