BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam Tuan Mufti,

Soalan saya berkaitan Taharah. Jika lantai yang ada najis hukmi bolehke saya menyucikannya dengan cara penggunaan vakum yang boleh guna air, yakni saya lalukan air di atas tempat terkena najis hukmi lalu saya vakum air tersebut. Adakah dengan cara ini mengikut ketetapan mazhab shafie dan dapat menyucikan lantai itu daripada najis ataupun perlu mengikut cara menggunakan kain untuk menyedut mutannajis tersebut. Harap dapat maklum balas dari pihak Tuan secepatnya.

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Najis hukmi adalah najis yang tidak dibersihkan dengan cara yang betul tetapi telah hilang kesan ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Ain najis itu hilang sama ada dengan sendirinya seperti air kencing yang telah kering, atau ain najis itu dihilangkan dengan menggunakan kain atau tisu sehingga hilang kesan warna, bau atau rasa. Najis hukmi tidak berpindah ke tempat lain sekiranya bersentuhan dengannya, sama ada dalam keadaan basah atau kering, kerana tidak ada ain najis padanya.

Walau bagaimanapun, tempat yang terdapat najis hukmi dianggap tidak suci dan tidak boleh didirikan solat di atasnya. Untuk menghilangkan najis hukmi tersebut, tempat itu perlu dialirkan air mutlak ke atasnya.

Merujuk soalan yang diajukan, penggunaan vakum air boleh digunakan sekiranya terdapat pengaliran air pada kawasan terkena najis tersebut. Jika vakum atau mop itu mempunyai fungsi untuk mengeluarkan atau menyembur air bersih dan menyedut semula air yang kotor melalui saluran yang berbeza dengan saluran air bersih tadi lalu hilang ain dan sifat-sifat najis hukmi tadi, maka benda atau kawasan yang terkena najis tersebut sudah dianggap suci dan bersih daripada najis.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 24

message user image