Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Saya bekerja di syarikat kawalan makluk perosak (pest control) dan kebersihan (hygiene) yang memberikan perkhidmatan terhadap kawalan makluk perosak seperti tikus, lipas, semut dll dan juga menyediakan perkhidmatan bagi air hygiene, washroom hygiene, feminine hygiene, floor care dll. Berdasarkan perkhidmatan ini, sudah tentu servis yang dilakukan oleh juruteknik kami meliputi premis halal dan juga non halal seperti restoren cina, pusat penyembelihan babi, kilang arah dan sebagainya.
Keadaan ini menyebabkan juriteknik muslim kami menolak untuk melakukan servis di tempat-tempat non halal.
Oleh yang demikian, saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak berwajib tentang,
1. Adakah menjadi satu kesalahan kepada syarikat untuk meminta juruteknik muslim melakukan servis tersebut?
2. Apakah tatacara/panduan bagi pengendalian kawalan makluk perosak dan kebersihan di premis non halal? Apakah keperluan yang perlu disediakan kepada juruteknik muslim sebelum melakukan servis, semasa melakukan servis dan selepas melakukan servis?
3. Apakah yang boleh dilakukan oleh juruteknik muslim selepas menjalankan servis di premis non halal sekiranya,
- dalam keadaan didapati terkena najis berat pada diri, pakaian, peralatan dll
- tidak diyakini terkena najis berat pada diri, pakaian, peralatan dll
4. Jika didapati tempat / rumah pelanggan ada anjing yang dibiarkan berkeliaran, didapati pelanggan juga sentiasa memegang, membelai anjing tersebut dan kemudian pelangan perlu memegang telefon juruteknik muslim untuk menandatangani pengesahan servis.
- Jadi adakah wajar pelanggan memegang telefon juruteknik muslim sedangkan kita tahu dia baru sahaja memegang anjingnya.
- Apakah yang boleh dilakukan oleh juruteknik muslim? Perlu elak daripada bagi pelanggan pegang telefonya, Perlu samak telefon atau apakah perkara wajar dilakukan.
5. Juruteknik muslim melakukan servis mat di premis non halal, dimana semasa servis mat akan dibawa pulang menggunakan van. Sampai di pejabat, mat tersebut akan dicuci dengan mesin laundry.
- Apakah prosedur semasa membawa pulang mat sama ada dari segi carry dan simpan dalam van.
- Apakah prosedur semasa mencuci dalam mesin laundry? Perlu tak diasingkan basuh/dikeringkan dengan mat lain? Perlu tak diasingkan penggunaan mat yang telah dicuci? Bagaimana prosedur penyucian mat tersebut?
Sekian, Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan:-
1. Adakah syarikat salah minta juruteknik Muslim buat servis di premis non-halal?
Tidak salah dari segi syarak, jika kerja tersebut:
Tidak melibatkan bantuan langsung kepada perkara haram seperti jual beli arak,
Tidak ada unsur menghalalkan yang haram,
Dan juruteknik dapat menjaga diri daripada terkena najis secara langsung.
Namun, mengarahkan secara paksa tanpa pilihan atau pelindungan wajar boleh jadi isu akhlak dan etika kerja, ia tidak dihukumkan haram secara mutlak, namun sebaiknya para petugas diberikan pilihan.
2. Secara umumnya berikut adalah cadangan bagi Tatacara atau Panduan pengendalian di premis non-halal
Sebelum servis:
Beri taklimat awal lokasi (halal / non-halal).
Juruteknik pakai PPE lengkap: sarung tangan, kasut keselamatan, coverall, dan lain-lain alat perlindungan yang bersesuaian.
Sediakan alat cuci seperti sabun, air mutlak, tisu dalam kenderaan.
Semasa servis:
Elak sentuh secara langsung bahan najis berat.
Guna alat panjang atau sarung tangan pakai buang.
Catat nama lokasi dan buat penilaian risiko.
Selepas servis:
Jika yakin terkena najis seperti darah babi, daging babi mentah maka wajib sertu.
Jika hanya syak atau kawasan tiada najis jelas maka cukup basuh seperti biasa dengan air mutlak.
3. Jika terkena najis berat atau tidak yakin terkena najis
A. Terkena najis berat (babi, anjing):
Gunakan kaedah sertu: Basuh sekali air bercampur tanah, 6 kali air mutlak.
Alat, pakaian, dan tubuh yang terkena najis perlu disertu.
B. Tidak yakin terkena najis berat:
Tidak wajib sertu, cukup basuh seperti biasa.
4. Pelanggan pegang telefon selepas sentuh anjing
Hukum:
Kulit anjing adalah najis berat (mughallazah).
Jika tangan pelanggan basah seperti ada kesan peluh, air liur anjing atau najis anjing maka telefon jadi najis jika disentuh.
Oleh itu, dalam situasi ini seorang juruteknik perlu:
Nasihatkan pelanggan untuk elak pegang telefon jika tangan basah atau sedang membelai anjing.
Boleh beri pen stylus, atau juruteknik sendiri isi borang/scan QR.
Jika telefon diyakini terkena najis berat:
Sertu telefon (guna kain basah dengan air tanah sekali dan 6 kali air biasa).
Jika hanya syak: tidak perlu sertu.
5. Prosedur servis dan cucian mat (tikar) dari premis non-halal
Semasa bawa pulang:
Guna plastik penutup/tong berasingan untuk mat dari premis non-halal.
Labelkan mat tersebut.
Letak di ruang khas dalam van, elak bercampur dengan mat halal.
Semasa cucian:
Jika tiada najis nyata seperti bau, warna dan rasa maka tidak wajib sertu, boleh cuci biasa.
Jika yakin ada najis berat seperti tumpahan atau lelehan daging babi mentah):
Sertu dahulu mat, kemudian baru cuci dalam mesin.
Mesin laundry:
Asingkan cucian non-halal daripada halal.
Kalau tiada najis berat dan mesin ada sistem bilasan yang efisien, semua mat dianggap suci selepas cucian.
Penggunaan selepas cuci:
Jika telah dicuci & dikering dengan betul, mat boleh digunakan semula di mana-mana premis.
Tidak perlu diasingkan penggunaan jika sudah suci dan tidak ada najis berat.
Sekian, terima kasih.