BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada keraguan berkenaan lafaz cerai sorih. Saya was was samaada saya ada melafazkan lafaz cerai sorih secara dimulut atau didalam hati, ayat lafaz saya ingat tetapi samaada dimulut atau dihati saya tak dapat nak pastikan. Melalui pemahaman bacaan saya, dihukumkan lafaz tidak berlaku kerana saya tidak yakin ada berlaku lafaz dimulut. Tetapi saya tetap tidak tenang dan keadaan tidak tenang ni berterusan untuk 3-4 bulan dah, kadang-kadang ditahap teruk, kadang-kadang ditahap biasa, soalan pertama saya:

1) Adakah perasaan tidak tenang yang berlanjutan ini sebenarnya tanda yang sebenarnya lafaz itu memang ada dan dilafazkan dimulut?

Dalam keadaan tidak tenang ni saya banyak berfikir tentang ayat lafaz tu dan saya kategorikan dalam beberapa keadaan sebab saya memang nak tahu ayat tu dilafazkan dimulut atau tidak, dan mungkin saya mampu teringat dengan pasti. Dan saya nak tahu kalau dalam keadaan tertentu adakah ayat tu dah menjatuhkan talak atau sebenarnya tidak. Disini saya senaraikan bentuk keadaan yang boleh terjadi berdasarkan ayat yang saya ingat tu, harap tuan boleh memberi jawapan jika keadaan ayat tu menjatuhkan talak atau tidak:

Situasinya adalah ketika saya memandu berseorangan ketika hendak pulang ke rumah dalam keadaan marah.

2) (Seluruh ayat didalam hati) "Balik rumah nanti aku nak cakap kat isteri, aku ceraikan kau talak satu, senang" (Tapi bila dirumah tak lafazkan pada isteri)

3) (Seluruh ayat dilafaz dimulut) "Balik rumah nanti aku nak cakap kat isteri, aku ceraikan kau talak satu, senang" (Tapi bila dirumah tak lafazkan pada isteri)

4) (Ayat ni dalam hati) "Balik rumah nanti aku nak cakap kat isteri".. (terus sambung dilafaz dimulut) "aku ceraikan kau talak satu, senang" (Tapi bila dirumah tak lafazkan pada isteri)

Saya pun tak mampu nak ingat mana satu situasi yang terjadi pada masa tu, tapi saya harap saya dapat jawapan untuk situasi2 tersebut, andai kata satu hari nanti saya mampu ingat dengan yakin, sekurangnya saya tahu hukum perbuatan saya masa tu.

Terima kasih tuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan :

1. Perasaan tidak tenang, was‑was, atau fikiran yang kerap memikirkan sama ada talak jatuh atau tidak bukanlah tanda bahawa talak itu memang berlaku. Dalam fiqh, talak tidak berlaku hanya dengan syak atau was‑was. Kaedahnya:

اليقين لا يزول بالشك

Yang maksudnya : Keyakinan tidak hilang dengan sebab keraguan.

Maknanya, selagimana tuan tidak yakin dengan pasti bahawa lafaz itu benar‑benar keluar dari mulut tuan, maka hukum asalnya perkahwinan masih kekal dan talak tidak jatuh.

2. Situasi yang kedua ini tidak meyebabkan talak jatuh, kerana lafaz tersebut di dalam hati, walaupun disebut dengan jelas dalam fikiran, tidak menjatuhkan talak kerana talak hanya berlaku dengan lafaz yang didengar.

3. Situasi ketiga itu pula tidak menyebab jatuh talak, kerana ayat termasuk dalam kategori khabari iaitu penyataan tentang apa yang akan dilakukan, bukan pelaksanaan talak itu sendiri, tetapi sekadar menyatakan niat untuk bercakap pada masa depan iaitu dalam situasi ini bila balik rumah nanti tuan nak cakap, dan bila balik rumah tuan tidak bercakap dengan menceraikan isteri, maka talak tidak jatuh.

4. Situasi ke empat pula, jika benar-benar dilafazkan ayat “aku ceraikan kau talak satu” secara jelas, walaupun tuan seorang diri dan isteri tidak mendengar, maka ia boleh membawa kepada talak jatuh kerana lafaz talak itu adalah jelas (sorih) tanpa memerlukan niat, saksi, atau penyampaian kepada isteri untuk berlaku. Walaupun begitu sekiranya tuan tidak yakin sama ada ayat ini benar-benar keluar dari mulut atau hanya lintasan hati, maka ia akan kembali kepada hukum asal ialah tidak berlaku talak.

والله أعلم بالصواب

 

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 75

message user image