BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

1. Saya telah berkahwin selama 25tahun dan mempunyai 4 orang. Boleh kah saya meminta cerai dari suami saya kerana saya tidak mampu bertahan dengan sikapnya. Saya telah berusaha pelbagai cara untuk menyelamatkan rumahtangga saya tapi suami saya selalu memberi tekanan perasan dan membuat saya seperti orang gaji. Setiap apa yang saya lakukan tidak pernah dihargai dan sentiasa menjadi kemarahannya.

2. Dan jika saya menfailkan perceraian adakah saya akan hilang hak terhadap anak2, harta sepencarian dan lain2 hak.

 

Sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Perkahwinan merupakan ikatan yang dibina bagi menghubungkan seorang lelaki dengan wanita ajnabi melalui cara yang diredai Allah SWT dan Rasul-Nya. Antara matlamat yang ingin dicapai dalam perkahwinan ialah sakinah, mawaddah dan rahmah. Namun, ikatan perkahwinan yang sah boleh dibatalkan melalui talak, fasakh dan khulu' (tebus talak).

أَبْغَضُ ‌الْحَلَالِ ‌إلَى ‌اللَّهِ الطَّلَاقُ

Maksudnya: Perkara halal yang paling dimurkai oleh Allah SWT ialah talak. (Riwayat Ibnu Majah)

Berdasarkan situasi yang digambarkan, puan sudah berusaha dengan pelbagai cara untuk memulihkan perhubungan yang sedang bergolak. Sekiranya diberi ruang, adalah dicadangkan kepada puan untuk melibatkan ahli keluarga atau orang luar yang terdekat yang dipercayai jika dengan penglibatannya boleh memberi kesan positif terhadap situasi yang sedang berlaku. Ini bagi memastikan usaha bagi memulihkan rumahtangga dilakukan semaksima mungkin sebelum memilih jalan untuk berpisah.

Dalam Islam, seseorang isteri yang ingin berpisah daripada suaminya boleh memohon fasakh atau khulu' i jika terdapat sebab yang munasabah. Untuk maklumat lanjut tentang perkara ini boleh rujuk Mahkamah Syariah.

Bagi pasangan suami isteri yang berpisah dan mempunyai anak, menurut Seksyen 82 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, ibu kandung adalah paling layak untuk mendapat hak jagaan anak selagi mana ibu kandung tersebut tidak hilang kelayakan sebagai penjaga. Sebab yang membolehkan ibu kandung hilang kelayakan berdasarkan Seksyen 84 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 ialah:-

Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak dari mempunyai hak terhadap hadhanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu—
(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:
Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

Untuk maklumat lanjut berkenaan hak-hak lain berkaitan penceraian, adalah disarankan puan merujuk pihak Jabatan Agama Islam atau Mahkamah Syariah bagi mendapatkan nasihat dan panduan selaku pihak berautoriti yang menguruskan isu-isu kekeluargaan umat Islam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image