Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu'alaikum Ustaz. Ketika sedang keadaan marah saya akan bermonolog dengan diri sendiri didalam hati untuk melepaskan rasa kemarahan. Ada satu ketika minggu lepas ketika marah dan berseorangan, saya bermonolog seorang diri dan terdetik untuk melafazkan kata-kata talak walaupun tidak ada niat untuk cerai. Saya faham jika kata-kata tersebut diucapkan dengan suara yang jelas dan sempurna, maka jatuhlah talak. Tujuan saya hanya untuk berbicara dengan diri sendiri didalam hati sahaja. Dan supaya tidak melafazkan perkataan-perkataan yang bermain difikiran pada masa itu, saya dengan sengaja menutup rapat mulut supaya perkataan-perkataan cerai yang dimainkan didalam hati tidak terkeluar diucapkan dari mulut. Dalam pada sama lidah bergerak dengan rela hati mengikut ungkapan yang dimainkan didalam hati tetapi yang keluar dan terdengar hanya lah bunyi-bunyi berdengung yang tidak boleh difahami kerana mulut tertutup rapat. Bunyi-bunyi tersebut tidak bolih difahami pada sesiapa yang mendengarnya kerana mulut tertutup rapat, walaupun didalam hati sendiri, saya faham penuh apa maksud bunyi-bunyi tersebut. Ini juga bukan cara biasa saya bercakap.
Soalan saya adakah jatuh talak jika hanya bunyi-bunyi berdengung yang keluar dari mulut yang tidak mempunyai makna atau pengertian perkataan pada telinga yang mendengar, walaupun didalam hati saya, bunyi-bunyi itu mempunyai maksud. Untuk makluman pada masa sama jugak, saya tiada langsung berniat untuk menceraikan isteri, kerana pada sangkaan saya jika perkataan talak tidak dilafazkan dengan jelas dan sempurna dari segi sebutan, maka tidaklah jatuh talak. Saya sekarang sudah mula ragu-ragu dengan pemahaman saya mengenai perkara ini dan ianya amat mengganggu emosi dan kesihatan saya ketika ini. Ini adalah kali pertama berlaku pada saya. Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan yang diajukan, jika tuan menyebut sesuatu yang hanya bunyi seperti mendengus, berdengung, atau kumat-kamit mulut tanpa makna yang boleh difahami oleh orang lain, maka ia tidak dikira lafaz. Imam al-Syirazi di dalam kitabnya al-Muhadzdzab menyatakan : “Talak tidak berlaku kecuali dengan lafaz yang menunjukkan makna talak yang jelas, bukan hanya gerakan atau isyarat tanpa makna." Dalam situasi ini, tuan bukan sahaja menjelaskan tiada niat untuk menceraikan isteri, malah tuan secara bersungguh-sungguh dan bermujahadah untuk mengelak daripada melafazkan perkataan cerai itu.
Berkaitan perasaan was-was dan gangguan emosi seperti yang tuan alami ini, ia adalah ujian dan godaan syaitan yang sering berlaku kepada orang yang menjaga agama dan takut kepada dosa. Sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Yang bermaksud : “Syaitan akan datang kepada seseorang dan berkata: ‘Siapa yang menciptakan ini dan itu?' sehingga akhirnya dia berkata: ‘Siapa yang menciptakan Tuhanmu?’ Apabila sampai ke tahap itu, maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah dan berhenti (daripada meneruskan lintasan tersebut).” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Berdasarkan hadis ini dapat difahami bahawa was-was yang datang dalam bentuk bisikan syaitan boleh membawa kepada kekeliruan dalam akidah, ibadah dan sebagainya. Kerana itulah Nabi SAW mengajar umatnya untuk berhenti daripada melayan bisikan tersebut dan banyakkan memohon perlindungan kepada Allah (ta'awwudz) serta berzikir dan berdoa semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan istiqamah dalam melawan gangguan emosi dan perasaan ini.
Sekian, terima kasih