Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya nak bertanya. Suami saya baru meninggal dunia. Saya nak menguruskan harta pusaka. Saya ada dua anak lelaki dan perempuan dan arwah suami juga ada 2 anak lelaki dan perempuan dari bekas isteri. Persoalan saya, apa yang dimaksudkan harta yang dikira harta pusaka. Arwah suami ada meninggalkan rumah dgn nama bersama bekas isteri. Motorsikal ada yang elok dan ada yg rosak. Rumah yang saya duduki saya beli melalui pinjaman saya seorang. Arwah ada keluarkan baget utk siapkan rumah. Bagaimana dengan perabut rumah, siling peringatan, stem peringatan dan lain2, barang/duit yang bercampur dari arwah dan saya? Saya juga google berkenaan perkara ini. Saya nak kepastian. Terima kasih.
Jawapan
Harta pusaka adalah harta peninggalan seseorang yang telah meninggal dunia yang boleh diwarisi oleh ahli keluarganya atau waris-waris lain, sama ada harta alih seperti wang tunai dan saham, atau harta tak alih seperti tanah dan rumah, selepas ditolak semua hutang dan liabilitinya.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, rumah arwah suami dengan nama bersama bekas isteri boleh dianggap sebagai harta sepencarian arwah suami dan bekas isteri. Bahagian hak suami terhadap rumah tersebut boleh dianggap sebagai harta pusaka suami.
Motosikal sama ada elok ataupun rosak jika ada nilai dianggap sebagai harta pusaka suami. Manakala rumah yang puan duduki, jika suami ada menyumbang di dalam menyiapkan rumah tersebut, ia boleh dianggap sebagai harta sepencarian di antara puan dan suami. Bahagian hak suami terhadap rumah tersebut boleh dianggap sebagai harta pusaka suami.
Siling peringatan, stem peringatan, duit tunai dan barangan peribadi lain arwah suami adalah milik suami, maka ia adalah harta pusaka.
Manakala barangan guna bersama seperti perabot, boleh diangap sebagai harta sepencarian antara suami dan isteri.
Walau bagaimanapun, dinasihatkan agar puan dapat mengenal pasti harta-harta yang dimiliki oleh arwah suami sewaktu hidup sebelum membuat proses seterusnya. Untuk mendapatkan kepastian serta penjelasan lebih lanjut berkaitan harta pusaka, puan bolehlah berhubung ke bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor.
Sekian, terima kasih.