Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM.
Saya ada satu pertanyaan berkenaan dengan lafaz talak. Saya ada bergaduh dengan suami melalui aplikasi whatsapp menyebabkan suami begitu marah sangat. Suami ada menghantar mesej dengan perkataan "CERAI". Hanya perkataan cerai sahaja tanpa ada ayat lain sebelum dan selepas perkataan itu.
Apabila saya bertanya kepada suami, dia tidak maksudkan perkataan "CERAI" itu untuk menceraikan saya. Ia sekadar untuk mengingatkan bahawa pergaduhan kami itu jika berlanjutan kesannya boleh membawa kepada cerai. Selepas suami menghantar mesej itu saya senyap. Dan suami mesej "dah habis dah?" Merujuk kepada tindakan diam saya itu adalah saya berjaya ditenangkan.
Adakah jatuh talak? Suami dengan sangat yakin mengatakan dia tidak bermaksud menjatuhkan talak ke atas saya.
Saya berharap sangat persoalan ini dapat diperhalusi oleh yang lebih arif sebagai bimbingan untuk saya.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Mana-mana lafaz talak yang ditulis melalui aplikasi whatsapp atau seumpama dengannya adalah dikira sebagai lafaz talak dalam bentuk kinayah atau sindiran atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
2. Adapun lafaz “cerai” yang dilafazkan atau ditulis oleh suami puan itu juga adalah lafaz kinayah (sindiran) bukan lafaz yang jelas (sorih) kerana perkataan “cerai” sahaja secara tunggal itu, tanpa susunan ayat lain yang jelas dan sempurna ayat menunjukkan talak kepada isteri, maka ia termasuk juga dalam kategori lafaz kinayah (sindiran) yang memerlukan niat. Jika suami tidak berniat untuk menjatuhkan talak ketika menaip atau menghantar mesej itu, maka tidak jatuh talak, begitulah sebaliknya.
Kenyataan ini adalah berdasarkan kitab I‘anah al-Ṭalibin karangan Syeikh Abu Bakr bin Muhammad Syata al-Dimyati as-Syafi‘i iaitu :
Yang bermaksud : Adapun lafaz kinayah, iaitu lafaz yang berkemungkinan membawa maksud talak atau maksud lain, maka tidak jatuh talak dengannya kecuali dengan niat.
Sekian, terima kasih