BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ada mesin basuh yang mana tiub air keluar mesin basuh di pintu tandas. Air basuhan akan mengalir beberapa meter ke lubang tandas

1. Jika ada sedikit air najis (misalya sedikit air kencing) pada tepi lubang tandas, kemudian air sabun daripada mesin basuh keluar lalu menolak air najis tersebut ke dalam lubang, adakah seluruh kawasan laluan air ke lubang tandas dikira najis? Adakah kawasan tersebut dikira bersih kerana sudah tiada najis?

2. Jika ada najis aini misalya tahi cicak pada tepi lubang tandas, kemudian air sabun daripada mesin basuh keluar lalu pada najis tersebut tapi tidak menolak tahi cicak tersebut adakah seluruh kawasan laluan air dikira najis?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, 

1. Air sabun menolak sedikit air kencing ke dalam lubang tandas:

Kawasan yang terdapat sedikit air kencing yang dilalui oleh air yang bercampur dengan sabun tidak menyucikan kawasan tersebut kerana air sabun bukanlah jenis air mutlak. Sekiranya hilang ainnya maka kawasan tersebut dihukumkan dengan najis hukmi. Najis hukmi bermaksud najis yang telah hilang ain serta kesannya seperti bau, warna dan rasa. Sekiranya sesuatu tempat itu diyakini terkena najis air kencing umpamanya, namun air kencing itu telah kering dan hilang kesannya, maka tempat itu dianggap sebagai bernajis hukmi. Najis hukmi tidak memindahkan najis.

Namun, sekiranya air basuhan daripada mesin basuh itu telah tidak lagi bercampur dengan sabun atau terlalu sedikit kesan sabunnya seperti air pada basuhan kedua atau ketiga yang mengalir dengan banyak dan menolak najis (air kencing) hingga hilang ‘ain serta sifat-sifatnya (bau, warna, rasa), maka kawasan laluan air tersebut dihukum suci.

Selagi najis telah tertolak dan tidak ada lagi kesan yang kelihatan, maka tidak dianggap najis.

2. Air sabun terkena tahi cicak tetapi tidak menolaknya:

Dalam keadaan ini, najis (‘ain najasah) masih kekal di tempatnya. Maka air yang mengenainya dihukum sebagai air mutannajis dan kawasan laluan air turut dianggap terkena najis. Untuk menyucikannya, najis tersebut hendaklah dibuang terlebih dahulu, kemudian dialirkan air mutlak sehingga hilang kesannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 25

message user image