Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah berkahwin dengan suami saya selama hampir 9 tahun. Baru - baru ini, dia memberitahu bahawa dia pernah terlihat tarikh pernikahan ibu bapa suami pada surat cerai ibu bapa dia yang mana bertarikh pada 3.4.1988. suami saya lahir pada 20.9.1988.suami menyatakan dia lahir cukup 6 bulan qamariah. dan kemudian menjadi persoalan saya mengenai nasab suami saya. saya telah melihat pengiraan di talian dan jumlah hari tersebut adalah 170 hari dan tidak cukup 180 hari seperti yang di tetapkan 6 bulan qamariah. Persoalan saya, adakah suami saya dikira anak luar nikah?adakah pernikahan saya dan suami sah kerana suami di bin kan dengan nama bapa nya?ketika lafaz akad perkahwinan saya, suami menyebut nama dia berbinkan nama bapa nya.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Pengiraan tempoh enam bulan dua lahzah qamariah itu bersamaan dengan 180 hari ditambah dua detik, mengambil kira 30 hari setiap bulan. Bilangan tersebut dikira bermula dari detik kemungkinan berlakunya persetubuhan antara pasangan sehinggalah detik lahirnya bayi. Sebagai contoh mudah, apabila kemungkinan berlakunya persetubuhan antara pasangan berlaku pada jam 10 malam maka untuk penasaban anak hendaklah dikira pada hari yang ke 180 pada jam 10 malam dengan ditambah dua detik.
2. Pernikahan puan adalah sah pada hukum syarak kerana syarat pengantin lelaki adalah tertentu orangnya (تَعْيِين), walaupun nama pengantin lelaki tidak sama dengan nama sebenar atau berbinkan bukan dengan nama bapa sebenar, pernikahan tetap sah kerana pengantin lelaki itu adalah pasangan yang benar dan betul pilihan pengantin perempuan.
Sekian, terima kasih