Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum , saya ingin bertanya, ketika saya dan suami sedang bersembang tiba-tiba suami mengatakan bahawa dia hendak membuat taklik . Dan takliknya seperti "selama perkahwinan , jika salah seorang daripada kita mempunyai orang lain atau melampaui batas (zina) , kita berpisah. " soalan nya , saya pernah berlaku curang 5 tahun yang lalu semasa menunggu proses permohonan cerai kami tanpa pengetahuan suami . Tetapi alhamdulillah jodoh kami masih panjang sehingga sekarang . Adakah jatuh talak ke atas saya kerana suami baru sahaja membuat taklik dan kesalahan saya itu berlaku 5 tahun lepas sebelum suami melafazkan taklik tersebut. Harap soalan saya dapat mendapat jawapan secepatnya untuk proses seterusnya jika berlaku jatuhnya talak . Terima kasih .
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
1. Lafaz suami "selama perkahwinan, jika salah seorang daripada kita mempunyai orang lain atau melampaui batas (zina), kita berpisah." adalah lafaz taklik dalam bentuk kinayah (sindiran). Perkataan "kita berpisah" adalah lafaz kinayah iaitu boleh membawa pelbagai makna samada talak atau selain daripada talak contoh mungkin bermaksud berpisah tempat tinggal atau berpisah tempat tidur dan sebagainya. Oleh yang demikian, lafaz kinayah ini bergantung kepada niat suami, sekiranya berpisah itu bermaksud talak, maka sekiranya dilanggar taklik tersebut jatuhlah talak.
2. Walaupun baru sekarang taklik itu dilafazkan tetapi ayatnya menunjukkan selama mana perkahwinan itu berlaku, maksudnya persyaratan taklik itu berkuatkuasa semenjak mula berkahwin lagi. Maka sekiranya dalam tempoh perkahwinan pasangan ada melakukan atau melanggar syarat taklik maka talak boleh jatuh.
Walaubagaimanapun, pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih