BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya dan isteri sedang bertengkar hal kecil dan saya terpaksa melafaz taklik "jika saya melihat itu, maka jatuh talaknya" lalu isteri saya berkasar dengan saya. Soalan pertama, taklik itu tidak ada persetujuan daripada isteri. Adakah taklik itu sah diguna pakai? Soalan kedua, taklik tersebut tidak jelas dari segi berapa talaknya, dan melihat perkara apa tidak disebut walaupun kedua-dua pihak sudah tahu apa yang dimaksudkan. Maka, adakah taklik itu juga sah diguna pakai?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan :

1. Secara umum cerai atau talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Seperti ucapan suami: "jika saya melihat itu, maka jatuh talaknya" atau sebagainya. Kesannya adalah bila suami melakukan melihat perkara itu, maka boleh menyebabkan jatuhnya talak. 

Dalam Mazhab Syafi‘i, persetujuan isteri bukan syarat untuk sahnya taklik. Ia sah jika suami melafazkannya dalam keadaan sedar dan waras. Oleh yang demikian, samada isteri setuju atau tidak, taklik itu tetap sah dari sudut hukum syarak, dengan syarat ia memenuhi rukun dan syarat-syaratnya. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Al-Majmū‘ Sharḥ al-Muhadhdhab karangan Imam al-Nawawi:

وَإِذَا عَلَّقَ الطَّلَاقَ عَلَى شَرْطٍ فَوُجِدَ الشَّرْطُ وَقَعَ الطَّلَاقُ، سَوَاءٌ رَضِيَتْ الزَّوْجَةُ أَمْ لَا، لِأَنَّ الطَّلَاقَ حَقٌّ لَهُ يَتَصَرَّفُ فِيهِ كَيْفَ شَاءَ

Yang bermaksud: Apabila suami menggantungkan talak pada suatu syarat, lalu syarat itu berlaku, maka talak jatuh sama ada isteri redha atau tidak, kerana talak adalah hak milik suami yang berkuasa melakukannya sebagaimana dia kehendaki.

2. Dalam menjawab pertanyaan kedua ini, kejelasan lafaz adalah satu perkara yang sangat penting dan diambil kira dalam menentukan lafaz itu jatuh ataupun tidak. Dalam fiqh, lafaz talak atau taklik itu samada ia sorih (jelas) ataupun kinayah (sindiran) yang disertai niat.

Lafaz taklik tuan "jika saya melihat itu, maka jatuh talaknya". Dalam lafaz tersebut tidak dinyatakan apakah yang dimaksudkan dengan "itu" dan ia menjadi majhul (kabur atau tidak jelas) dari sudut syarak, kecuali maksud “itu” memang jelas kepada suami ketika lafaz, walaupun orang lain tak tahu, taklik sah dan akan berkuat kuasa jika syarat berlaku, namun jika maksud “itu” majhul atau kabur atau tidak jelas walaupun bagi suami sendiri, taklik tidak sah. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam Mughni al-Muhtāj oleh al-Khatib al-Shirbini :

وَيَصِحُّ تَعْلِيقُ الطَّلَاقِ عَلَى شَرْطٍ مَعْلُومٍ أَوْ مَجْهُولٍ، إِذَا كَانَ الْمُرَادُ بِهِ مَعْلُومًا عِنْدَ الزَّوْجِ، وَلَا يُشْتَرَطُ رِضَا الزَّوْجَةِ فِي ذَلِكَ

Yang maksudnya :Sah menggantungkan talak pada syarat yang diketahui atau yang tidak disebut secara jelas, selama maksudnya jelas bagi suami. Dan tidak disyaratkan keredhaan isteri dalam hal itu.

Adapun berkaitan taklik tersebut yang tidak jelas dari segi berapa talaknya, maka dalam Mazhab Syafi‘i, ia secara automatik dikira satu talak raj‘i. Ini sebagaimana di jelaskan dalam kitab Mughni al-Muhtāj, al-Khatib al-Shirbini:

وَإِذَا أُطْلِقَ الطَّلَاقُ، انْصَرَفَ إِلَى وَاحِدٍ رَجْعِيٍّ

Maksudnya: Apabila talak disebut secara mutlak (tanpa bilangan), maka ia merujuk kepada satu talak raj‘i.

Walaubagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 48

message user image