BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum, saya ingin bertanya jika saya haid pada malam 20/6/2025 dan tamat pada 5/7/2025. tiba ii saya keluar darah pada 16/7/2025 adakah ia dikira istihadah atau haid?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada pandangan jumhur mazhab Shafi'i, tempoh suci yang minimum adalah 15 hari. Namun, di dalam kitab al-Majmu' karangan Imam al-Nawawi, ada menyebutkan pandangan ulama lain berkenaan jumlah yang kurang daripada 15 hari. Imam al-Nawawi berkata yang bermaksud:

“Jika masa suci kurang dari lima belas hari dan kebiasaannya telah terkenal seperti itu berulang-ulang, maka terdapat tiga pandangan yang dijelaskan oleh Imam al-Haramayn, al-Ghazali, dan selain mereka. Salah satunya adalah bahwa keadaan wanita ini tidak diperhitungkan, melainkan keputusan diambil berdasarkan apa yang telah ada sebelumnya, kerana pembahasan orang-orang terdahulu lebih lengkap. Pandangan kedua adalah bahawa ini dianggap sebagai haid, kerana yang diutamakan adalah keberadaan darah yang sudah terlihat. Imam al-Haramayn mengatakan bahwa ini adalah pendapat sebagian ahli yang diteliti, termasuk al-Syeikh Abu Ishak al-Isfarayini dan al-Qadhi Husein. Pandangan ketiga adalah jika waktunya sesuai dengan pendapat para pendahulu yang mengutamakan keberadaan darah, maka kita mengikutinya dan mengamalkannya, tetapi jika tidak sesuai dengan pendapat siapa pun, maka tidak dapat diterima.”

Berdasarkan teks ini, ada tiga pandangan berkaitan tempoh suci kurang 15 hari :

1. Darah itu bukan darah haid. Kerana tidak mencapai tempoh minimum suci. Hal ini kerana pandangan muktamad mazhab Shafi’i adalah tempoh minimum suci adalah 15 hari.

2. Darah itu diiktibarkan sebagai haid sekiranya tempoh suci tersebut merupakan tempoh kebiasaannya sekalipun berbeza dengan kebanyakan wanita lain. Ini adalah pandangan al-Syeikh Abu Ishak al-Isfarayini dan al-Qadhi Husein serta dipilih oleh al-Darimi. 

3. Darah yang datang sebelum sempurna tempoh minimum suci itu tidak dikira sebagai haid, melainkan jika kehadiran awalnya bertepatan dengan mana-mana tempoh minimum suci yang ada disebut oleh ulama salaf (seperti pandangan ulama Hanbali iaitu 13 hari). 

Merujuk soalan yang diajukan, darah yang keluar pada 16/7 itu masih dalam tempoh kurang 15 hari suci dimana secara mutlaknya akan dihukumkan darah istihadhah. Namun puan boleh beramal dengan pandangan kedua di mana darah yang keluar pada 16/7 itu adalah darah haid, sekiranya ia berlaku secara berulang, berterusan dan menjadi kebiasaan darah haid puan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image