BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Situasi kawan saya

 

Isteri kawan saya dah failkan cerai. Sekarang dalam prosiding mahkamah. Si isteri sekarang duduk dengan mak ayah ( mertua kawan saya) . Si isteri mula duduk dengan mak ayah bulan Mac dengan alasan sebelum bersalin.Si isteri bersalin pada bulan Mei. Dalam tempoh berpantang isteri failkan cerai. Kawan saya tinggal di selangor kerana bekerja di selangor. Kejadian berlaku susulan daripada sikap dingin kawan saya yang kerap marah si isteri..Si isteri dah tawar hati.

Selepas dapat tau isteri failkan cerai, kawan saya sedar dengan kesilapan. Dan tergerak hati untuk buat rawatan islam. Perawat beritahu kawan saya ada gangguan. Alhamdulillah sekarang kawan saya makin pulih.

Namun isteri dan mertua masih tidak dapat memaafkan kawan saya. Kawan saya teringin melawat anak-anak daan berbaik dengan isteri tapi tiada peluang.Kawan saya ada berhubung dengan peguam isteri. Namun peguam maklumkan isteri tidak benarkan melawat anak.

Kawan saya ada dapatkan khidmat nasihat jabatan peguam. Namum peguam cadangkan kawan saya berdamai cara baik. Sebelum.ke rumah mertua dapatkan cover report polis untuk elakkan kejadian tidak diingini. Dan kawan saya telah pergi ke rumah mertua dengan bantuan datuk saudara mertua dan paksu mertua sebagai pendamai. Namun selepas berjumpa. Mertua kawan saya tuduh kawan saya membuka aib mereka sekeluarga sebab libatkan datuk saudara.

Adakah perkara ini dikira sebagai membuka aib? Niat asal cuma nak berdamai. Dan minta bantuan orang yang lebih tua sebagai pendamai?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan tuan, tindakan kawan tuan melibatkan saudara sebelah isterinya sebagai wakil untuk berdamai adalah merupakan salah satu langkah atau kaedah yang boleh dilaksanakan dan ia  tidaklah dianggap sebagai membuka aib dari sudut syara, kerana niat kawan tuan tersebut adalah untuk berdamai dan dalam Islam juga, usaha atau tindakan untuk berdamai dan mengeratkan silaturahim adalah sesuatu yang dianjurkan serta digalakkan. Apatah lagi menggunakan orang yang lebih tua atau dihormati untuk jadi pendamai adalah cara yang dibenarkan serta boleh diterima dan biasanya memberikan kesan yang positif bagi menyelesaikan sesuatu isu terutama dalam hal kekeluargaan.

Namun begitu waklil atau orang tengah ini hendaklah mempunyai niat yang ikhlas untuk menjadi pendamai bukan berniat untuk menjatuhkan maruah atau membuka aib (ghibah atau tajsis) pihak ketiga itu. Wakil juga hendaklah amanah, menjaga kerahsiaan dan adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka agar pihak ketiga tidak sangsi dan ragu terhadap kerahsian dan yakin maruah mereka disebarkan kepada orang lain yang tiada berkepentingan urusan mereka. 

Walaupun tuduhan mertua bahawa kawan tuan membuka aib kerana melibatkan datuk saudara dan paksu sebelah isterinya sebagai pendamai adalah tidak tepat dari sudut hukum, namun dari segi hubungan kekeluargaan, mertua mungkin merasa kurang selesa kerana campur tangan pihak lain, walaupun ia bertujuan baik.Oleh itu, sahabat tuan disarankan untuk memberikan penjelasan dengan cara yang berhikmah, tenang dan penuh adab supaya mertuanya dapat memahami niat sebenar di sebalik tindakannya. Sebagai langkah alternatif, beliau juga boleh mendapatkan bantuan daripada pegawai di Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan untuk bertindak sebagai orang tengah atau wakil pendamai. Langkah ini lebih bersifat neutral, tidak memihak kepada mana-mana pihak serta dapat mengelakkan sebarang unsur yang boleh mengaibkan pasangan atau keluarga kedua-duanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image