BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Baju anak saya ada terkena kencing dan berbau, jadi saya basuh bersih sebelum masuk ke mesin. Setelah jemur dan kering saya angkat letak ke dalam bakul. Dan saya dapati ada sehelai baju masih berbau hancing. Baju yg lain tiada bau.

1. Adakah saya perlu basuh semula baju berbau hancing itu sahaja atau perlu basuh semula kesemua baju yang lain ?

2. Adakah saya perlu alirkan air atau cukup sekadar lap ampai baju yang telah digunakan ? Termasuk hanger dan bakul yang telah digunakan. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, membasuh pakaian dengan menggunakan mesin basuh adalah suci kerana ia menepati hukum syarak dalam bab menyucikan pakaian. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh para fuqaha di dalam kitab dan fatwa yang muktabar.

Metod basuhan yang menggunakan mesin basuh otomatik adalah menepati dua kaedah basuhan yang disarankan oleh fuqaha Shāfi‘iyyah iaitu;

a) Penggunaan air mutlak yang bersih walaupun kurang daripada dua kolah.

b) Berlakunya proses kemasukan air (murur al-mā’) ke dalam pakaian yang dimasukkan lebih awal dalam drum mesin basuh dan mesin dobi, bukan sebaliknya. 

c) Terbukti berlakunya bilangan (adad) basuhan air beberapa kali untuk menghilangkan kesan najis. Pertukaran air basuhan pertama akan dikeluarkan sebelum air baharu dimasukkan bagi putaran kali kedua.

c) Pakaian telah dikeringkan secara putaran (spinning) setelah selesai basuhan berdasarkan mode yang ditetapkan pada kedua-dua mesin. Proses putaran ini menepati kaedah perahan (i’sar) pakaian yang dihukumkan sunat oleh Shāfi‘iyyah dan wajib menurut Hanafiyyah.

d) Dari segi pengesanan zat najis dan jenis kesannya, didapati;

  • i) Kesan najis iaitu bau, warna dan rasa telah hilang sepenuhnya.
  • ii) Kewujudan kesan warna yang masih samar-samar disebabkan kesukaran menghilangkannya dimaafkan oleh syarak atas faktor kesukaran yang melampau (mashaqqah).
  • Setiap pakaian yang telah hilang semua kesan najis khususnya kategori mutawaṣṣiṭah adalah dihukumkan bersih sekiranya semua kesan tersebut dapat dihilangkan dengan mudah.
  • Jika sukar dihilangkan selepas dibasuh dengan sabun (contoh) seperti kesan darah, pakaian tersebut dihukum bersih dengan dimaafkan (diberikan kelonggaran) pada kesan yang berbekas

Rujukan: Taqrirat Sadidah dan I’anah al-Tolibin

Berasaskan prinsip-prinsip di atas, ketiadaan najis pada pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh otomatik itu sewajarnya telah dianggap bersih dalam konteks ṭahārah sebagai syarat sah ibadat solat, bukan sekadar menghilangkan kotoran najis (izālah al-najāsah) semata-mata.

Namun adalah lebih baik sekiranya najis yang ada pakaian itu dibuang dan dibasuh terlebih dahulu. Manakala mesin basuh separuh automatik atau manual tidak memenuhi syarat menyucikan najis. Oleh sebab itu, najis pada pakaian perlu disucikan dahulu bagi penggunaan mesin basuh manual.

Berdasarkan soalan puan:

  1. baju yang berbau hancing masih perlu dibasuh sekali lagi sehingga hilang hancing dan tidak perlu basuh semula ke semua baju yang lain melainkan terdapat tanda kewujudan najis pada pakaian lain melalui bau, warna dan rasa.
  2. Sekiranya tidak terdapat ‘ain najis (bau hancing) pada ampai, hanger dan bakul maka tidak perlu untuk dibersihkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 20

message user image