BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum,

sebelum berkahwin saya telah menyatakan kepada suami bahawa saya tidak ingin untuk berkawin dan mahu memutuskan pertunangan , suami memberi satu syarat untuk memutus tunang iaitu memberinya sejumlah wang ringgit pada masa tersebut secara segera dan dia mengetahui yang saya tiada source of income untuk memenuhi syarat tersebut waktu ketika itu, saya telah menyatakan bahawa jika perkahwinan/ akad nikah masih dijalankan maknanya saya berkahwin secara terpaksa. pada hari akad nikah , ada ditanyakan kepada saya adakah saya setuju dengan perkahwinan ini. saya ingin mengatakan tidak setuju tetapi disebabkan pada masa itu ada orang luar dan bukan ahli keluarga sahaja aku hanya mampu berkata setuju dengan nada yang rendah dan senyuman yang palsu atas sebab mahu menjaga aib muka kedua dua pihak keluarga. sepanjang perkawinan ini saya rasa amat tertekan dari segi mental , saya mencuba untuk mencintai dan menyayangi suami, pelbagai cara saya lakukan tetapi tidak ada juga perasaan tersebut, suami memberi kasih sayang tetapi saya tidak dapat menerima dan banyak melakukan sesuatu perkara dengan secara tidak rela. perkara ini berlaku sampaikan saya tidak dapat melakukan tanggungjawab sebagai isteri. terdapat rasa takut , gementar dan juga rasa tidak selamat terhadap suami dan rasa tidak boleh mempercayai terhadap orang sekeliling termasuk ibu bapa mertua dan kandung. perkahwinan ini belum sampai setahun, saya sudah tidak dapat menanggung penderitaan saya rasa ini. apakah yang saya boleh lakukan? mohon bantuan dan penjelasan


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Perkahwinan merupakan antara ibadah yang dituntut dalam Islam dan mengandungi beberapa hikmah yang membawa manfaat kepada masyarakat, negara dan agama. Perkahwinan seharusnya dibina atas dasar mawaddah, sakinah dan rahmah. 

Berkenaan situasi yang digambarkan, akad nikah yang dijalankan adalah sah di sisi syarak jika dipenuhi rukun dan syaratnya. Adapun fasakh (pembubaran perkahwinan) atau khulu' (tebus talak) ialah jalan terakhir bagi pasangan suami isteri. Para isteri juga diingatkan bahawa meminta penceraian tanpa ada sebab yang dibenarkan mengikut syarak adalah dilarang dan berdosa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Thauban RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga. (Riwayat al-Tirmidzi)

Adalah disarankan terlebih dahulu kepada pihak puan jika tidak berlaku sebarang perkara yang zalim sepanjang perkahwinan untuk berusaha mencari jalan penyelasaian lain terlebih dahulu sebelum membuat pilihan untuk berpisah. 

Walaubagaimanapun, isteri boleh memohon cerai apabila ada alasan yang dibenarkan dan munasabah pada syarak, sebagaimana yang dinyatakan dalam enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, seksyen 52 menyebutkan : 

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin di bawah Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu---

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukkan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin ) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum ia mencapai umur enam belas tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain---

    (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

     (ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara'; atau

     (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

     (iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

     (v) menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

     (vi) jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, ia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syara'.

(i) bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan mensetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau lain-lain hal yang diakui oleh Hukum Syara';
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syara'.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 22

message user image