BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Apa hukumnya dari segi syarak jika si isteri melahirkan zuriat kepada si suami tersebut dan si suami tersebut tidak mahu bertanggungjawab untuk membuat pendaftaran di JPN tetapi sebaliknya datuk tiri yang membuatkan pendaftaran di JPN tersebut.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan.

Perbuatan seorang bapa yang enggan bertanggungjawab dalam urusan pendaftaran anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah satu bentuk pengabaian tanggungjawab yang ditegah oleh syarak. Tindakan tersebut mencerminkan sikap lepas tangan terhadap amanah sebagai seorang ayah, sedangkan memastikan anak didaftarkan secara sah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab keibubapaan yang dituntut oleh Islam.

Perbuatan ini termasuk dalam kategori dosa kerana meninggalkan kewajipan yang menjadi hak anak dan tanggungjawab seorang bapa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Maksudnya: Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya. (Riwayat Abu Daud)

Hadis ini memberi amaran bahawa setiap penjaga, khususnya seorang bapa, akan dipertanggungjawabkan terhadap amanah yang berada di bawah tanggungannya, termasuklah dalam hal pendaftaran dan pengiktirafan sah taraf anak.

Maka, si suami yang enggan melaksanakan tanggungjawab tersebut hendaklah segera bertaubat dan memperbetulkan keadaannya dengan membuat pendaftaran anak tersebut secara sah. Ini penting bagi menjaga hak anak dari sudut identiti, nasab, dan perlindungan undang-undang, di samping menunaikan tanggungjawab agama yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 27

message user image