Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya disini ingin menyatakan keraguan tentang status perkahwinan saya. Saya dan suami pernah bercerai di mahkamah, sebelum lafaz cerai di mahkamah. Saya telah menyatakan hasrat untuk menamban syarat taklik dan suami bersetuju. Namun kami tetap bercerai selepas itu dan kami rujuk semula dalam tempoh iddah. Selepas kami bersama suami kembali melanggar syarat taklik yang saya minta sebelum cerai yang pertama. Adakah syarat taklik tersebut masih sah atau saya perlu membuat syarat taklik yang baharu?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Taklik talak adalah talak bersyarat iaitu suami menggantungkan talak dengan syarat tertentu, maka selagi syarat itu belum berlaku, talak belum jatuh. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Mughni al-Muhtaj :
Yang bermaksud : Jika talak digantung dengan sesuatu syarat, ia tidak berlaku kecuali apabila syarat itu wujud.
Dalam situasi puan, bila berlaku talak melalui lafaz atau perintah mahkamah, dan bukan kerana taklik tersebut, maka talak taklik itu belum berlaku dan ia tidak terbatal secara automatik dan taklik masih kekal.
Berdasarkan qaul muktamad Mazhab Syafi'ie, taklik terdahulu tetap mengikat selepas rujuk selagimana :
Ia belum gugur
Ia berkaitan dengan pasangan yang sama,
Dan syaratnya belum berlaku sebelum perceraian
Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj :
Bermaksud: Apabila suami merujuk isteri dalam tempoh iddah, taklik yang ada kekal sebagaimana asal selagi tidak digugurkan.
Sekian, terima kasih.