Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, ustaz/ustazah boleh ke saya nak tanya kalau suami sakit tetapi suami memyuruh isterinya membeli atau masak makanan yang memudaratkan dirinya perlu ke isteri mengikit kehendak suami walaupun isteri tahu itu memudaratkan kepada suami. Adakah ia dikira nusyuz dan jika tidak apa yang perlu isteri buat supaya tidak melukai hati suami.
Jawapan
Merujuk kepada situasi yang diajukan, secara asas seorang isteri diwajibkan mentaati perintah suami dalam perkara-perkara ma'ruf yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Walau bagaimanapun, dalam situasi puan, sekiranya isteri enggan menuruti kemahuan suaminya apabila suami itu menyuruh isterinya membeli atau memasak makanan yang memudaratkan diri suami sedangkan isterinya juga tahu bahawa ianya akan mendatangkan kemudaratan kepada suami.
Perbuatan isteri tidak dianggap nusyuz sekiranya dia enggan menyediakan makanan yang boleh memudaratkan suaminya, selagi penolakannya dibuat dengan cara yang baik dan beradab. Isteri boleh menjelaskan kepada suami dengan lembut bahawa makanan tersebut tidak sesuai untuk kesihatannya, serta menawarkan alternatif lain yang lebih selamat.
Dalam masa yang sama, isteri hendaklah menjaga perasaan suami dan berusaha mencari jalan tengah seperti menyediakan makanan lain yang tetap digemari suami tetapi tidak membahayakan. Sikap berhikmah dan penuh kasih sayang ini lebih selari dengan akhlak seorang isteri solehah.
Isteri juga boleh berpesan dengan penuh kesabaran kepada suaminya bahawa Allah SWT melarang hambaNya memudaratkan dirinya sendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 195:
Maksudnya : Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
Sekian, terima kasih.