BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada pertanyaan. Gaji saya sudah melepasi had untuk zakat. Saya bersyukur kerana diberikan nikmat untuk membayar zakat buat tahun kedua hidup saya. 

Bagaimanapun, pada tahun ini, ada beberapa perkara terjadi dan saya kerugian berbelas ribu kerana ditipu penjual rumah dan terpaksa mengeluarkan beberapa ribu untuk membaiki kerosakan besar bagi kereta saya. Adakah saya boleh untuk tidak membayar zakat bagi tahun 2025 ini? Simpanan saya juga sudah berkurangan. Harap tuan/puan dapat membantu memberi pandangan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Apabila sesuatu simpanan tetap itu telah genap setahun (haul) dan jumlahnya melebihi daripada paras nisab (nilai 85 gram emas), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan tersebut. Rasulullah SAW bersabda :

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya: Apabila kamu memiliki 200 dirham, dan telah cukup setahun zakatnya sebanyak 5 dirham. Kamu tidak wajib berzakat emas sehinggalah memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar, dan telah cukup setahun, maka zakatnya 1/2 dinar. Jika kamu memilikinya lebih daripada itu, maka ikutilah cara pengiraan tersebut(Riwayat Abu Daud)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, simpanan bagi tahun semasa iaitu 2025 sekiranya jumlah simpanan (setelah ditolak dengan kos kerugian dan kos membaiki kenderaan) masih  melebihi nisab dan kekal nisab sepanjang setahun (haul) yang telah ditetapkan maka wajiblah membayar zakat sebanyak 2.5% dari jumlah wang simpanan tersebut. Sekiranya tidak mencapai nisab maka tidak wajib zakat.

Adalah digalakkan untuk melayari laman lembaga zakat selangor atau ke kaunter zakat yang berdekatan bagi membuat kiraan yang lebih tepat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image