Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz.
Saya nak tanya tentang giliran bermalam dalam tempoh iddah setelah jatuh talak bagi pasangan poligami. Adakah masih ada giliran sehingga habis tempoh iddah atau sudah gugur hak giliran kepada salah seorang yang telah dijatuhi talak 1 (talak raj'i) dalam tempoh iddah.
Terima kasih Ustaz.
Jawapan
Talak raj‘i bermaksud talak satu atau dua yang mana suami masih berhak rujuk tanpa akad baru sepanjang tempoh iddah. Dalam talak raj‘i, isteri itu masih dianggap sebagai isteri yang sah sepanjang iddah, kerana ikatan perkahwinan belum putus sepenuhnya. Ikatan itu akan terputus apabila iddah tamat tanpa rujuk.
Menjawab pertanyaan tuan, berdasarkan kenyataan di atas, isteri yang ditalak raj‘i masih berhak mendapat giliran bermalam, sama seperti sebelum talak dijatuhkan. Ini kerana isteri tersebut masih berstatus isteri dalam segala hal kecuali perkara yang diharamkan ketika dalam iddah seperti jimak dan suami masih berkewajipan melunaskan hak-hak perkahwinan seperti nafkah dan tempat tinggal dalam tempoh iddah talak raj‘i.
Oleh yang demikian, dalam tempoh iddah talak raj‘i, bagi yang berpoligami hak giliran bermalam masih berjalan seperti biasa. Suami wajib terus mengagihkan giliran dengan adil kepada semua isterinya termasuk yang dalam iddah talak raj‘i.
Sekian, terima kasih