BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya (di Selangor) dan isteri sudah tinggal berasingan sejak lebih 2 tahun kerana isteri ingin menjaga ibu bapa angkatnya yang sudah berusia di kampung (di Johor) . Oleh yang demikian ada beberapa perkara saya perlukan penjelasan bagi mengelakkan tafsiran yang salah.

1. Apa hukum isteri tinggal berasingan dengan suami kerana ingin menjaga ibu bapa angkatnya?

2. Adakala bapa angkatnya akan tinggal dirumah kami (di Johor). Apa hukum isteri saya tinggal serumah dengan bapa angkat tanpa kehadiran suaminya?

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, hukum isteri tinggal berasingan dengan suami kerana ingin menjaga ibu bapa angkatnya adalah bergantung kepada keizinan suami. Seorang perempuan itu jika tanpa izin suami maka hukumnya adalah tidak dibenarkan dan dianggap nusyuz iaitu dikira menderhaka kepada suami kerana meninggalkan suami, tempat tinggal tanpa keizinan walaupun isteri mempunyai niat yang baik untuk menjaga ibu dan bapa angkat. Manakala jika mendapat  keizinan suami pula hukumnya harus dan tidak berdosa. Namun begitu,suami masih menanggung nafkah dan kedua pihak iaitu suami dan isteri mestilah jelas tempoh dan batasan tinggal berasingan supaya tidak menjejaskan hak perkahwinan. Di samping itu, isteri juga dinasihatkan untuk tidak mengabaikan dan mengambil ringan hak dan kebajikan suami. Ini kerana walaupun tinggal berasingan tetapi tanggungjawab kepada suami juga perlu dilaksanakan dengan baik. Selain itu, perkara tentang hak suami dan isteri ini ditekankan kerana banyak kes-kes yang berlaku sehingga menyebabkan penceraian apabila suami dan isteri itu tinggal berasingan.

Merujuk persoalan yang kedua pula ialah bapa angkat adalah bukan mahram dengan isteri. Hukumnya sama seperti lelaki ajnabi (orang luar) yang mana isteri wajib menjaga aurat, tidak boleh berdua-duaan, dan ada batas pergaulan. Hukumnya haram jika isteri tinggal berdua dengan bapa angkat tanpa mahramnya. Maka jika berdepan lagi dengan situasi yang mana isteri tinggal dengan bapa angkat sahaja tanpa mahram ataupun tanpa suami, oleh yang demikian, perlulah memikirkan cara supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik. Selain itu, penjelasan mestilah diberikan kepada bapa angkat supaya dia tidak terasa hati dengan tindakan yang dilakukan. Perkara ini adalah untuk menjaga batas-batas yang telah ditetapkan dalam islam dan sebagai perlindungan diri dari fitnah orang lain. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ ‏

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. (Riwayat Muslim).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 30

message user image