Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin mendapatkan kepastian berkenaan status perkahwinan saya.
Kira-kira dua tahun lalu, saya telah mendapati suami mempunyai hubungan dengan seorang wanita. Selepas berlaku perselisihan, suami memohon maaf dan saya telah meletakkan satu syarat kepadanya: sekiranya selepas ini dia melayan perempuan tersebut, maka jatuh talak. Suami bersetuju dengan syarat itu walaupun tiada lafaz lisan daripada pihaknya ketika itu..
Kini, saya dapati suami masih berhubung dengan wanita yang sama. Walaupun dia mendakwa ia atas urusan rasmi, saya dapati ia tidak munasabah kerana terdapat komunikasi melalui video call selama 30 minit dan mesej pada waktu tengah malam. Untuk makluman, saya dan suami telah tinggal berjauhan (PJJ) selama lebih setahun.
Soalan saya:
Adakah jatuh talak berdasarkan kepada syarat yang telah ditetapkan dahulu, memandangkan suami masih berhubung dengan wanita tersebut walaupun alasan diberi adalah urusan rasmi?
Untuk makluman, saya telah menghantar pertanyaan ini semalam tetapi belum menerima sebarang notifikasi emel atau maklum balas. Maka saya hantar sekali lagi untuk memastikan ia diterima.
Mohon penjelasan hukum dan pandangan pihak tuan/ustaz/pegawai berautoriti dalam hal ini.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan, menurut Mazhab al-Syafi‘i: Taklik talak mestilah dilafazkan oleh suami. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab: "Talak tidak berlaku melainkan dari suami atau dari wakilnya secara sah."
Maka, jika isteri yang meletakkan syarat, contohnya : "sekiranya selepas ini dia melayan perempuan tersebut, maka jatuh talak" dan suami pula sekadar setuju tanpa melafaz sendiri taklik tersebut, maka talak tidak berlaku. Ini kerana lafaz yang menentukan talak mestilah keluar dari suami secara sorih atau kinayah dengan niat, atau dalam bentuk taklik oleh suami sendiri. Jika suami sekadar diam, angguk, atau tidak lafaz dengan jelas, maka ia tidak menyebabkan berlakunya taklik talak.
Dan perkataan "melayan" itu pula perlu kepada penjelasan yang tepat sebagaimana yang puan maksudkan, adakah maksud melayan itu, adalah layanan yang berunsur nafsu syahwat atau layanan ke arah untuk menjalinkan hubungan cinta atau layanan secara umum. Ini kerana maksud itu sangat penting dalam memastikan berlaku atau tidak pelanggar syarat taklik tersebut sekiranya suami hanya sekadar berhubung atas urusan rasmi sahaja.
Walaubagaimanapun, untuk makluman pihak puan, pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka adalah disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih