BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum tuan..saya ada 2 persoalan  mengenai pencen..

1.begini, ayah saya mempunyai pencen semasa bekerja dengan kerajaan sblm bertukar kepada swasta dan ayah saya berkahwin 2..sebelum ayah meninggal ayah saya meletak penama pencen terbitan nama ibu saya isteri pertama dan ayah juga berpesan bahawa duit pencen tersebut adalah hak mak sebab pencen tersebut adalah ketika ayah bekerja dan hidup bersama ibu saya (sebelum berkahwin lain) dan ketika itu ayah saya hidup susah bersama ibu saya..persoalannya ialah dengan wasiat tersebut adakah isteri kedua ayah saya ada hak ke atas pencen tersebut?

2. ayah dan mak saya pernah bercerai 2 kali tapi rujuk (ini disahkan sendiri oleh mak saya)..setelah ayah meninggal ibu saya jadi was2 mengenai status ibu sebagai isteri ayah kerana dia pernah diberitahu ADA ORANG BERITAHU ayah cakap "aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia"(ibu saya)..jadi bagaimana ye tuan adakah ibu saya masih boleh ambil duit pencen ayah saya atau sudah tiada hak atas sebab ibu saya kata sudah bercerai?untuk pengetahuan tuan sebelum ayah saya meninggal ayah saya beritahu saya sendiri isterinya hanya 2 org "mak kau no 1 makcik kau no2, anak ayah 5 orang kau yang bongsu..

untuk pengetahuan tuan sejak ayah berkahwin no 2 ayah hanya beri nafkah pada ibu waktu awal-awal sahaja tetapi langsung tidak beri sesen pon bile saya besar..sekarang ibu saya sudah tidak mahu ambil duit pencen tersebut sebab takot makan yang bukan hak dia..

diharap pihak tuan boleh membantu menyelesaikan masalah kami ini..

terima kasih..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, syarat harta yang hendak diwasiatkan mestilah harta tersebut boleh dijadikan harta pusaka atau boleh dijual beli semasa hidup pewasiat, mahupun harta tersebut wujud dalam pemilikan pewasiat ketika hidup. Walau bagaimanapun, faedah pencen terbitan muncul selepas kematian yang mana faedah tersebut bertujuan untuk memberi perlindungan kewangan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Oleh yang demikian, keinginan atau hasrat bapa yang menyatakan faedah pencen terbitan hanya untuk isteri pertamanya seorang (ibu puan) adalah tidak menepati syarat harta yang hendak diwasiatkan itu sendiri kerana ianya merupakan kategori bukan harta pusaka. Malahan, ianya adalah milik balu dan anak-anak kepada arwah bapa yang berkelayakan untuk menerima faedah pencen tersebut termasuklah sekiranya ketika arwah bapa meninggal dunia, dia meninggalkan lebih dari seorang isteri yang sah, maka pembahagian pencen terbitan akan dilakukan secara adil dan saksama mengikut undang-undang yang ditetapkan selagi memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan. 

Adapun, berkaitan status perkahwinan ibu puan, ungkapan yang dinyatakan itu adalah dari orang lain yang menyampaikan ungkapan tersebut iaitu "aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia (ibu puan)" dan bukannya lafaz itu dari arwah bapa puan sendiri. Lafaz yang disampaikan oleh orang lain tersebut juga merupakan lafaz kinayah yang mana perkataan yang dilafazkan tidak jelas dan tersirat di mana ungkapan tersebut perlulah dibuktikan dengan niat.

Dalam situasi ibu puan, arwah bapa juga telah meninggal dunia yang mana beliau tidak dapat membuktikan niat sebenar tersebut. Oleh yang demikian, ibu puan masih bergelar isteri yang sah kepada suaminya iaitu arwah bapa puan, maka ibu puan layak untuk menerima pencen terbitan tersebut. Begitu juga sekiranya isteri kedua arwah bapa merupakan isteri yang sah dari sudut undang-undang, maka isteri kedua tersebut juga layak untuk menerima pencen terbitan arwah bapa. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 25

message user image