BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada beberapa soalan.

1. Pada awal baligh dahulu, saya tidak mandi wajib dengan betul selepas habis haid. Saya ambil remeh tentang ibadat dan selalu was-was sama ada mandi wajib itu sah atau tidak. Saya berfikir bahawa puasa menjadi tidak sah kalau mandi wajib tidak sah. Maka semasa puasa bulan Ramadan, saya berpuasa dalam keadaan tidak yakin puasa saya itu sah atau tidak. Terlintas dalam hati saya "tak tahulah puasa ni sah ke tak sebab mandi wajib macam tak betul tapi puasa jelah penuh". Adakah puasa saya itu dikira sah kalau terlintas dalam hati saya macam itu?

2. Apabila sudah dewasa sedikit, saya belajar tentang mandi wajib dan berfikir bahawa saya dah belajar dengan betul. Maka saya mula yakin dengan sahnya mandi wajib dan puasa saya. Tetapi rupa-rupanya saya tersilap faham mengenai niat mandi wajib. Saya selalu berniat sebaik sahaja saya pulas pili air shower jadinya niat itu dilafazkan SEBELUM dan bukan SEMASA air mula terkena anggota badan. Jadi, bagaimana pula dengan puasa bulan Ramadan dan juga puasa qada' yang telah saya lakukan semasa ini, adakah ia sah?

3. Saya tidak niat puasa sebulan kerana dalam keadaan haid semasa bulan Ramadan bermula. Tetapi kadang-kadang saya terlupa baca niat puasa Ramadan pada setiap malam. Adakah sah puasa saya kalau terlintas dalam hati saya "okay esok kena bangun sahur sebab nak puasa" dan saya set alarm sekali untuk bangun sahur walaupun akhirnya tak sempat sahur kerana tersedar apabila dah masuk waktu subuh? Adakah diterima kalau dalam lintasan hati tu saya tidak kata dengan spesifik 'puasa Ramadan' sebab saya memang sedar waktu tu tengah bulan Ramadan jadinya 'puasa' yang saya maksudkan itu untuk bulan Ramadan?

Maaf sekiranya soalan saya memeningkan dan terima kasih. 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, puasa yang dilakukan adalah tetap sah dalam ketiga-tiga keadaan tersebut. Ini bermaksud:

  1. Lintasan hati yang ragu-ragu atau was was tidak membatalkan puasa selagi mana seseorang itu tetap berpuasa dan tidak berniat membatalkannya. 

  2. Mandi wajib adalah tetap sah jika air diratakan ke seluruh tubuh badan dan diniatkan ketika waktu yang hampir serentak dengan permulaan mandi meskipun dilafazkan sedikit awal sebelum air terkena pada badan. Niat adalah lintasan hati bahawa perbuatan mandi itu adalah mandi wajib. 

  3. Memadai berniat puasa di bulan Ramadhan dengan lintasan hati “berpuasa pada esok hari” walaupun tanpa menyebut secara khusus “puasa Ramadhan” selagi mana seseorang itu sedar bahawa puasa yang dimaksudkan adalah puasa wajib bulan Ramadhan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 16

message user image