Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Redha Allah adalah pada redha ibu bapa. Anak sepatutnya taat pada ibu bapa. Tetapi bagaimana kalau ibu bapa mengeluarkan kata-kata kesat? Maki hamun anak dari kecil sehingga dewasa sampaikan anak hilang sabar. Jika anak tersebut hilang sabar sehingga meninggikan suara, adakah dia dikategori derhaka? Niat anak mahu menegur tetapi hilang sabar. Bagaimana hendak menegur ibu bapa seperti ini?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, taat kepada ibu bapa tidak mutlak. Ia hanya wajib taat dalam perkara ketaatan sahaja. Mungkin ada sebab tertentu, mengapa ibu bapa mengeluarkan kata-kata kesat, sebab biasanya mereka memberi kasih sayang. Dalam usaha menegur kedua ibu bapa dalam perkara yang bercanggah dengan syarak, perlu ada adab. Mereka adalah ibu dan bapa kita yang wajib dihormati. Jika ibu bapa tidak menerima teguran anak yang dibuat secara baik, maka tidak perlu ditegur lagi. Anak tidak boleh meninggikan suara, ia ditegah sebagaimana firman Allah SWT : وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا Maksudnya “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Al-Israa' : 23) Berusahalah dengan mengubah cara komunikasi melalui tindakan seperti melakukan kebaikan, tunjukkan kebaikan kita kepada mereka disamping berdoa kepada Allah SWT semoga dibuka pintu hatinya. Jangan membenci dan memarahinya, Allah SWT sendiri yang menilai perbuatannya, kita nilai perbuatan kita sendiri. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.