BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT kepada ustaz/ustazah/tuan/puan,

Saya ada soalan yang ingin dikemukakan dan berharap dapat jawapan yang jelas daripada pihak yang lebih arif berkenaan status perkahwinan kedua ibu bapa saya. Buat pengetahuan ustaz/ustazah/tuan/puan, ayah saya seorang yang uzur dan tidak sihat, pengidap kencing manis, darah tinggi dan pernah mengalami stroke dua kali sebelum ini. Ayah saya juga mempunyai ingatan yang sangat lemah berkenaan tarikh, hari, dan kenalan seperti anak-anak atau ahli keluarga. Dia sukar mengingati ahli keluarga dan selalu berbalik ke masa silam seperti merasakan masih bekerja, masih muda dan kuat seperti dahulu walhal keadaan sekarang amat berbeza, fizikal dan daya ingatan yang lemah. Boleh dikatakan dia seperti di fasa nyanyuk kerana suka bercakap hal yang tidak terjadi dan kerap berhalusinasi.

Persoalan saya, kerana halusinasi berlebihan, ayah telah menuduh emak berzina dengan lelaki lain tanpa saksi. Oleh kerana tuduhan tidak berasas ini, emak saya takut sekiranya jatuh apa-apa hukum kerana kekhilafan dan keterbatasan ilmu agama, emak mengambil jalan untuk menolak ajakan 'bersama' (hubungan suami isteri) ketika ayah meminta. Emak takut sekiranya tuduhan tidak berasas ini menyebabkan terbatal perkahwinan atau seumpamanya dan sekiranya diteruskan akan jatuh kepada zina.

Pertama sekali, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dan mohon diperbetulkan seandainya fahaman saya silap dalam bertanyakan soalan ini. Saya ingin dapatkan jawapan mengenai persoalan berikut:-

1) Apabila berlakunya petuduhan sebegini, adakah jatuh hukum li'an terhadap mereka suami isteri? Jika ya, apakah yang perlu mereka lakukan/ apakah yang boleh kami lakukan sebagai anak? Kerana kami sedia maklum ayah mungkin dalam keadaan tidak waras dan hanya berhalusinasi, tetapi kami tidak boleh membuat kesimpulan sendiri, kemungkinan ayah waras semasa membuat tuduhan itu, jadi perlu merujuk kepada pihak lebih arif.

2) Apakah hukum tuduhan ayah ini ke atas emak? adakah perlu di denda/ dibayar untuk menebus tuduhan beliau?

3) Selain menuduh emak berzina, ayah juga kerap menuduh emak dengan kata-kata kesat yang tidak sepatutnya seperti, pembawa sial, perempuan jalang dan sebagainya. Apakah hukumnya lemparan dan tuduhan seperti ini kepada hubungan mereka suami isteri? Sehingga ke saat ini, emak masih menjaga kebajikan ayah seperti tanggungjawab seorang isteri kepada suami yang sakit kecuali hal batin sahaja emak mengelak.

 

Mohon penjelasan dari pihak ustaz/ustazah/tuan/puan atas permasalahan ini, semoga Allah membalas segala kebaikan ustaz/ustazah/tuan/puan.

Sekian, Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan :

1. Untuk makluman puan, li‘ān tidak berlaku secara automatik dengan hanya lafaz di rumah. Ia mesti dilakukan di hadapan hakim syarie dengan lafaz sumpah suami sebanyak 4 kali, dan kali ke 5 melaknat dirinya jika berdusta, kemudian diikuti sumpah penafian isteri. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Syafi'i di dalam kitab Al Umm :

وَإِذَا قَالَ الرَّجُلُ لِزَوْجَتِهِ: زَنَيْتِ، وَلَمْ يُقِمْ عَلَيْهَا أَرْبَعَةَ شُهُودٍ، دُعِيَ إِلَى اللِّعَانِ عِنْدَ الْحَاكِمِ، فَإِنْ أَبَى أُقِيمَ عَلَيْهِ حَدُّ الْقَذْفِ

Bermaksud: Apabila seorang lelaki berkata kepada isterinya: "Engkau telah berzina," dan dia tidak mendatangkan empat orang saksi, maka dia dipanggil untuk melakukan li'an di hadapan hakim. Jika enggan, dijalankan atasnya hudud qazaf.

Qazaf bermaksud menuduh seorang muslim yang terpelihara maruahnya (muhsan) berzina tanpa empat saksi.Tuduhan itu diambil kira oleh syarak dengan syarat orang yang menuduh dalam keadaan sedar, berakal yakni tidak gila atau nyanyuk dan tidak dipaksa. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Nawawi :

وَشَرْطُ إِقَامَةِ الْحَدِّ أَنْ يَكُونَ الْقَاذِفُ مُكَلَّفًا، مُخْتَارًا، عَالِمًا بِالْتَّحْرِيمِ

Maksudnya: Syarat pelaksanaan hudud (qazaf) ialah penuduh itu mukallaf (baligh dan berakal), dengan pilihan sendiri, dan mengetahui keharaman (perbuatannya).

Oleh yang demikian, bagi menilai tahap nyanyuk atau demensia ayah puan, maka puan boleh cuba untuk mendapatkan pengesahan doktor pakar geriatrik/psikiatri dan merujuk keputusan tersebut ke Mahkamah Syariah yang berhampiran sebagai pihak yang berautoriti dalam mengendalikan kes ini.

2. Berkaitan hukum tuduhan ayah puan ke atas ibu puan, ia terkait dengan pengesahan keadaan ayah puan samada dia waras atau tidak waras/nyanyuk. Pengesahan tahap kesihatan akal ayah puan ini memberi kesan yang besar terhadap penentuan hukum sama ada tindakannya itu boleh menjadi qazaf atau tidak. Tiada kaffarah khusus seperti denda atau bayaran bagi qazaf selain taubat nasuha dan memohon maaf kepada yang dituduh.

3. Berkaitan kata-kata kesat yang diucapkan itu, ia termasuk celaan dan cercaan terhadap isteri, perbuatan ini merupakan satu akhlak yang mazmumah yakni keji, hukumnya haram dan berdosa besar kerana menyakiti hati isteri serta melanggar hak-hak pergaulan suami isteri.

Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat ayat ke 11 :

وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ

Bermaksud: Dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran yang buruk; amat buruknya panggilan yang fasik sesudah beriman.

Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmū‘ Syarḥ al-Muhadhdhab:

وَالسَّبُّ وَالشَّتْمُ وَالطَّعْنُ فِي الْمُسْلِمِ حَرَامٌ بِاتِّفَاقِ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: Celaan, makian dan penghinaan terhadap seorang muslim adalah haram dengan kesepakatan semua ulama Islam.

Walaupun makian suami itu hukumnya berdosa, tetapi ia tidak membatalkan perkahwinan.

Syabas kerana ibu puan sangat sabar dengan tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri kepada ayah puan. Adapun dari sudut menolak hubungan intim tanpa sebab syarie, ia adalah tidak wajar, tetapi dalam kes ini, ibu puan mungkin mempunyai sebab yang berasas iaitu kebimbangan agama (takut berlaku pelanggaran hukum syarak), emosi dan keselamatan diri.

Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj :

وَإِذَا خَافَتِ الزَّوْجَةُ الضَّرَرَ بِالْوَطْءِ لِعِلَّةٍ فِيهِ أَوْ فِيهَا جَازَ لَهَا الْمَنْعُ حَتَّى يَزُولَ السَّبَبُ

Maksudnya: Jika isteri khuatir mendapat mudarat daripada persetubuhan kerana suatu sebab pada dirinya atau suaminya, maka harus baginya menolak (hubungan) sehingga sebab itu hilang. 

Ini termasuk mudarat fizikal, mental, dan maruah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 49

message user image