Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah berkahwin dengan suami saya semenjak tahun 1990. Ketika itu kami masih pelajar di Universiti dan perbelanjaan saya ditanggung oleh bapa saya dan suami saya di tanggung oleh datuk dan bapanya. Adakalanya perbelanjaan tidak cukup jadi bapa saya akan memberi wang tambahan untuk menyara kami kerana bapa saya mempunyai pendapatan lebih tinggi dari keluarga suami
Setelah tamat Universiti dan bekerja pada 1993, saya menanggung keperluan pakaian dan keperluan peribadi saya sendiri seperti peralatan kebersihan diri, manakala makan, minum dan sewa rumah dikongsi bersama. Ini berterusan sehingga pertengahan 2013. Suami telah membayar pembantu rumah kerana saya datang dari keluarga yang mempunyai pembantu rumah
Pada tahun 1998, kami telah membeli rumah secara perkongsian atas nama bersama dan deposit rumah adalah di atas perbelanjaan saya kerana saya berpendapatan lebih dari suami pada ketika itu dan mempunyai kemudahan bank. Seterusnya bayaran bulanan ada yg dibayar bersama dan ada yang ditanggung suami.
Pada 2010, suami mahu membina rumah lebih besar dengan menyambung 2 lot rumah berkembar di mana saya membayar untuk satu lot, dan suami membayar untuk lot sebelahnya
Pada 2013, setelah menjadi doktor swasta berjaya, suami saya mahu berkahwin lain, di mana saya tidak bersetuju untuk dimadukan kerana saya masih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan telah melahirkan zuriat seorang anak perempuan dan 2 anak laki2 untuk suami saya dan saya dapati calon isteri baru suami saya mahukan kekayaannya dan telah menceritakan kepada teman2 pejabatnya. Ada juga yang mengatakan bahawa keluarga perempuan itu telah menyihir suami saya sehingga mahu berkahwin. Alhamdulillah, rancangan berkahwin itu tidak jadi. Selepas pertengahan tahun 2013, saya menuntut nafkah wang RM3000 sebulan kerana suami saya adalah seorang yang mampu, sehingga zakat yang dia bayar, ada tahun yg mencecah RM100K setahun. Saya juga menuntut supaya makan minum, bil rumah, belanja rumah ditanggung oleh suami saya. Dan mulai Jun 2013, suami mula memasukkan RM9000 setiap 3 bulan ke akaun saya untuk belanja peribadi saya yang lain iaitu bersamaan dengan RM3000 sebulan. Dari 1993 hingga pertengahan 2013, semasa perbelanjaan dikongsi bersama, saya tidak pernah menuntut nafkah berbentuk wang daripada suami saya
Pada 2018 dan 2024, saya dapati suami saya ada berhubung dengan 2 perempuan tanpa pengetahuan saya dan ada memberikan pinjaman wang dan hadiah kepada perempuan tersebut. Saya berasa dikhianati kerana tidak wajar bagi seorang suami berhubungan dengan wanita lain sehingga menimbulkan kecurigaan isteri. Oleh itu saya mahu menuntut cerai dari suami saya dan menuntut tunggakan nafkah berbentuk wang dari 1993 hingga pertengahan 2013 yang berjumlah RM438000 iaitu tempoh di mana saya menanggung perbelanjaan saya sendiri atau berkongsi perbelanjaan dengan suami. Walaubagaimanapun setelah sesi kaunseling kami tidak jadi bercerai, tetapi suami setuju membayar tunggakan nafkah setelah rumah yang dibeli pada 1998 dijual.
Baru2 ini suami saya telah diberitahu oleh ustaz di jabatan agama bahawa beliau tidak semestinya membayar tunggakan nafkah yang di tuntut kerana nafkah zahir tidak semestinya wang, tetapi makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan peralatan kebersihan diri iaitu setahu saya nafkah tamkin. Tetapi dari 1993 hingga pertengahan 2013, saya tidak mendapat nafkah tamkin sepenuhnya kerana saya berkongsi perbelanjaan rumah dengan suami, jadi layakkah saya menuntut tunggakan nafkah tamkin ini diganti dalam bentuk wang iaitu nafkah tamlik. Saya tidak rasa jumlah ini membebankan suami saya kerana beliau adalah seorang Datuk dan mampu sehinggakan mampu juga membuat kerja amal untuk golongan kurang mampu dan memberi pinjaman wang kepada ramai orang. Kami juga telah bertengkar di mana beliau juga mengatakan bahawa sekiranya saya tuntut tunggakan nafkah ini di mahkamah, tidak tentu boleh menang. Saya merasa sedih seolah2 suami tidak mahu menghargai pengorbanan saya dari beliau masih pelajar dari keluarga sederhana sehinggalah beliau berjaya, dengan menafikan hak saya. Soalan saya adakah saya tidak layak menuntut nafkah tamlik dari 1993 hingga pertengahan 2013 seperti yang didakwa suami? Sekiranya itu adalah hak saya, maka saya tidak akan redha kerana suami memang mampu dan semasa saya membantunyalah dia telah melukakan hati saya dengan mahu berkahwin lain kerana rasa telah cukup mampu
Jawapan
Menjawab pertanyaan Datin :
1. Nafkah tamkin bermaksud: suami menyediakan keperluan asas secara terus untuk isteri seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, rawatan kesihatan, dan kebersihan diri. Ia idak semestinya berbentuk wang, ia boleh berbentuk barangan, kemudahan, atau perkhidmatan. Oleh yang demikian, jika isteri mendapat kesemua keperluan asas ini secara mencukupi daripada suami, walaupun bukan dalam bentuk wang tunai, suami dianggap telah menunaikan nafkah. Manakala nafkah tamlik iaitu nafkah yang diberi dalam bentuk wang tunai untuk isteri urus sendiri. Ia boleh menggantikan nafkah tamkin jika dipersetujui, atau jika suami memilih kaedah ini.
2. Menurut Mazhab Syafi‘i, seandainya suami tidak menyediakan nafkah isteri atau nafkah yang disediakan tidak mencukupi sebagaimana yang layak, maka ia dianggap sebagai hutang atau nafkah tertunggak. Hutang nafkah ini tidak tergugur walau berlalu masa yang panjang melainkan dengan cara melunaskan hutang tersebut atau isteri merelakannya.
3. Persoalan layak atau tidak Datin menuntut nafkah tamkin dan diganti dengan nafkah tamlik, ia pastinya melibatkan proses perbicaraan atau perbincangan (Sulh) di mahkamah Syariah. Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, isu ini boleh dirujuk di bawah Seksyen 60 iaitu Mahkamah boleh mengeluarkan perintah nafkah isteri atau bekas isteri, maksudnya Datin boleh merujuk perkara ini di mana-mana mahkamah syariah yang berdekatan dengan membuat permohonan perintah nafkah, dan seterusnya tertakluk kepada proses yang ditetapkan oleh mahkamah untuk mempertimbangkan permohonan perintah nafkah tersebut.
Sekian, terima kasih