Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya, wanita belum berkahwin berumur 52,
Darah haid saya sudah tidak teratur, adakah dikira istihadah sekiranya keluar darah yang sedikit tetapi berulang dalam jarak yang sangat jauh.
Contohnya, pada hari Isnin keluar darah yang sedikit pada waktu magrib, kemudian keluar lagi darah sedikit pada hari Selasa pada waktu asar.
Tiada lagi darah keluar sepanjang hari, namun keluar lagi darah yang sedikit waktu zohor pada hari Rabu.
Saya cuba buat kiraan 24jam tapi kadang saya sendiri jadi keliru.
Betulkah kiraan saya bahawa darah ini adalah Istihadah atau saya perlu mandi wajib?
Darah ini hanya keluar hanya ketika saya buang air kecil. Saya kerap minum air setiap 2 jam, dan saya selalu perhatikan jika ada darah atau tidak. Pad saya sentiasa kering. Kadang ada kesan darah yang sangat halus yang saya sendiri tidak sedar. Saya juga selalu kesat dengan tisu untuk periksa, tapi tiada kesan darah.
Jawapan
Secara asasnya, sebanyak-banyak tempoh haid adalah 15 hari 15 malam sama ada darah tersebut keluar secara berterusan atau darah keluar secara terputus-putus dalam tempoh 15 hari 15 malam. Jika dihimpunkan tempoh darah yang keluar terputus-putus itu menjadi cukup sehari semalam (24jam) maka darah yang keluar cukup sehari semalam dan tidak melebihi 15 hari 15 malam sedangkan ia keluar dalam waktu imkan al-haid (masa yang boleh didatangi haid), kesemuanya adalah haid walaupun sifatnya berbeza dan menyalahi adat sebelumnya.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, berdasarkan kenyataan yang diberikan, seandainya darah yang keluar sedikit dan tempoh darah keluar tidak melebihi 24 jam sebagaimana syarat yang dinyatakan, maka ia adalah darah fasad atau istihadhah. Disarankan kepada puan untuk membuat catatan tarikh dan tempoh darah yang keluar untuk memudahkan perkiraan haid sekiranya ada pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih