BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

ISU NAFKAH DAN TANGGUNGJAWAB

Assalamualaikum.

Mak dan abah bercerai masa saya 7 tahun. Hak jagaan dapat kepada mak masa saya umur 9 tahun. Sejak tu abah tak pernah beri nafkah walaupun dapat arahan ingkar mahkamah. Kali terakhir kami turun naik mahkamah masa saya 18 tahun. Abah tetap tak bayar. Dia langsung tak ambil tahu pasal saya.

Umur 28 tahun, saya terpaksa cari abah kembali untuk jadi wali. Ada beberapa kali abah ugut tak nak walikan bila tarikh nikah nak dekat. Jadi saya terpaksa berikan sejumlah wang untuk pastikan dia datang.

Bila dah kahwin, saya akan lawat abah setiap setahun atau 2 tahun sekali. Walaupun hati sakit, saya malas nak panjangkan dendam supaya hati tenang.

Sekarang umur saya 41 tahun, abah baru meninggal. Anak-anak dengan isteri baru dah kongsikan hutang fidyah dan hutang-hutang lain untuk kami bayar bersama. Hutang fidyah saja dah cecah RM31 ribu (34 tahun tak puasa). Arwah tiada harta kecuali rumah yang diorang anak beranak tinggal sekarang ni.

Saya agak terkilan kenapa perlu saya kongsi bayar.

Soalan:

Wajib ke saya kongsi bayar sedangkan arwah tak pernah beri nafkah kepada saya?

Berdosakah kalau saya tak ambil tahu pasal hutang-hutang ni?

Apakah langkah terbaik yang saya boleh ambil atasi hal ni?

 

Harap boleb menjawab persoalan saya ini. Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan:

1. Tidak wajib bagi anak membayar hutang si ayah daripada harta sendiri melainkan dengan kerelaan anak tersebut. Dalam Islam, hutang si mati wajib dibayar daripada harta peninggalannya dahulu. Sebuah hadis nabi SAW daripada Abu Hurairah RA :

نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Diri seorang mukmin tergantung yakni tidak lepas dari pertanggungjawaban disebabkan hutangnya hingga hutang itu dilunaskan untuknya. (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis ini menjelaskan menunjukkan betapa beratnya urusan hutang dalam Islam. Walaupun seseorang itu banyak amal soleh seperti solat, puasa, sedekah namun jika dia mati dengan meninggalkan hutang yang belum dibayar, maka urusannya di akhirat tergantung sehingga hutang tersebut diselesaikan. Ini menunjukkan bahawa hak manusia (huquq al-ibad) sangat besar di sisi Allah SWT, bahkan tidak akan diampunkan melainkan setelah dipulangkan haknya. Sekiranya si mati mempunyai hutang dan meninggalkan harta, maka menjadi tanggungjawab waris untuk membayarnya daripada harta peninggalannya sebelum harta itu diagihkan sebagai pusaka. Jika si mati tidak meninggalkan harta, maka disunatkan bagi ahli keluarga atau orang lain yang mampu untuk melunaskan hutangnya sebagai amal kebaikan dan bantuan kepada si mati

Dalam konteks persoalan puan, sekiranya arwah tiada harta kecuali rumah yang dihuni isteri dan anak-anaknya sekarang, maka rumah itu secara hukum ialah harta pusaka, bukan hak mutlak mereka. Dan hutang fidyah dan lain-lain boleh ditolak daripada nilai harta pusaka itu, bukan daripada puan atau ahli waris yang lain kecuali ahli waris itu rela dan tidak dipaksa.

2. Ahli waris tidak berdosa dan tidak wajib bayar hutang itu daripada wang mereka sendiri namun ia akan menjadi amal kebajikan sukarela jika waris ingin membantu sebagai tanda ihsan anak terhadap ayah mereka. Ini sebagaimana dinyatakan dalam hadis Nabi SAW daripada Abu Hurairah RA : 

لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدَهُ إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

Maksudnya : Seorang anak tidak dapat membalas jasa ayahnya, kecuali jika dia mendapati ayahnya sebagai seorang hamba (tertawan), lalu dia membelinya dan memerdekakannya.”

Dalam pengertian yang lebih luas hadis ini juga menjelaskan bahawa anak yang menanggung beban atau menyelamatkan maruah dan kehidupan ibu bapanya, termasuk melunaskan hutang mereka adalah satu amalan yang besar, walaupun ia bukan kewajiban yang mutlak.

3. Di antara langkah-langkah yang boleh puan laksanakan dalam menangani permasalahan ini :

Jelaskan hukum kepada waris lain secara baik. Beritahu mereka bahawa menurut hukum faraid, hutang si mati hendaklah dilunaskan daripada harta peninggalan (rumah, dll). Jika mereka mahu sama-sama tanggung, pastikan ianya atas dasar sukarela dan bukan paksaan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 31

message user image