Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah menghantar mesej melalui whatsapp dengan menulis "Btol2 buat rumah mcm hotel ek..mcm xde suami..ikot suka keluar ikot suka balik..seronok kn jadi single mom..xbalik b4 11 consider urself as a single mom" dengan niat menakutkan isteri. Adakah sah taklik saya
Jawapan
1. Menjawab pertanyaan tuan, mana-mana lafaz talak yang ditulis melalui aplikasi whatsapp atau seumpama dengannya adalah dikira sebagai lafaz talak dalam bentuk kinayah atau kiasan iaitu lafaz yang tergantung kepada niat suami ketika menulis perkataan tersebut, seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak namun sebaliknya seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku. Menurut fuqaha Syafiʿi, tulisan juga dianggap sebagai lafaz talak apabila jelas menunjukkan maksud perceraian, sama ada ditulis dengan tangan atau melalui medium moden sepert mesej, SMS, WhatsApp dan lain-lain lagi. Jika tulisan itu disertai niat cerai, maka hukumnya jatuh talak. Namun, jika tulisan itu sekadar ugutan, untuk menakutkan, gurauan, latihan atau tanpa niat cerai, maka tidak jatuh talak. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmuʿ :
Bermaksud: Jika seseorang menulis lafaz talak, maka jika ia berniat menjatuhkan talak dengannya, maka jatuhlah talak itu. Jika tidak berniat, maka tidak jatuh.
2. Merujuk kepada kenyataan tuan bahawa ketika menulis mesej tersebut tuan tidak berniat cerai, hanya sekadar untuk menakutkan isteri sahaja, maka ia tidak menyebabkan jatuhnya talak. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan hukumnya di perenggan 1.
Walau bagaimana pun, untuk mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut berkaitan perkara ini, maka tuan boleh merujuk perkara ini kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah tempat di mana tuan tinggal. dalam kadar segera, kerana mereka adalah agensi yang berautoriti dalam urusan-urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk orang Islam.
Sekian, terima kasih