Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz/ustazah, saya nak tanya, kadang bila dah nak hampir waktu period, saya kadang ada spotting, ia itu ada darah setitik, keluar sekali je. Kemudian takde langsung apa apa, jadi saya faham memandangkan darah keluar kurang 24jam, saya anggap saya ia darah rosak, dan saya terus solat, tanpa mandi wajib. Perkara ini jarang berlaku, biasanya darah period saya keluar terus tapi kadang kala ia berlaku.
Selepas beberapa hari (contoh 4-5 hari), baru darah period saya bebetul keluar seperti biasa. Soalan saya ialah, bilakah patut dikira hari pertama period saya? Adakah dari hari yang darah period bebetul keluar atau dari tarikh spotting, kerana ia akan affect kiraan jumlah maximum 15 hari period, terutamanya jika kira daripada tarikh spotting.
Jawapan
Secara asasnya, menjadi perkara yang penting bagi seorang wanita mengetahui dan mengenal pasti perbezaan darah yang keluar khususnya pada waktu kemungkinan haid. Perbezaan darah boleh dibuat melalui darah kuat atau lemah, warna darah, sifat darah dan bau. Hal ini kerana darah haid tidak bermula dan berakhir dengan satu sifat atau warna tertentu sahaja. Bahkan, kadang-kadang darah haid berubah warna daripada satu tahap ke satu tahap yang lain. Jika kesemua sifat ini berlaku dan tempoh yang keluar tidak melebihi tempoh maksimum haid iaitu 15 hari 15 malam, maka kesemua darah tersebut dihukumkan sebagai darah haid.
Namun, jika darah yang keluar melebihi tempoh maksimum haid, ia boleh ditentukan dengan dua kaedah, iaitu:
Kaedah tamyiz (beza darah): Darah yang kuat sahaja dihukumkan sebagai darah haid manakala darah lemah adalah darah istihadhah.
Kaedah adat: Jika darah yang keluar hanya satu sifat dan tidak dapat dibezakan jenis darah. Maka boleh menggunakan kaedah adat iaitu mengikut kebiasaan tempoh haidnya pada bulan sebelumnya.
Sekian. Terima kasih.