Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Saya ingin memohon pandangan dan penjelasan hukum daripada pihak Pejabat Mufti Negeri Selangor berkenaan satu isu kekeluargaan yang melibatkan status perkahwinan ibu bapa saya.
Latar belakang kes:
1. Pada tahun 2016, ayah saya telah melafazkan rujuk kepada ibu saya selepas berlaku perceraian sebelum itu. Namun begitu, mereka tidak membuat pengesahan rujuk tersebut di pejabat agama kerana tidak mengetahui bahawa lafaz rujuk itu adalah sah dari segi hukum syarak.
2. Pada tahun 2021, ayah saya telah berkahwin dengan wanita lain. Dalam proses mengisi borang perkahwinan dan semasa berkenalan dengan isteri barunya, ayah saya menyatakan bahawa beliau telah bercerai dengan isteri lamanya (iaitu ibu saya). Ini kerana beliau tidak tahu bahawa rujuk yang dibuat pada tahun 2016 itu adalah sah.
3. Pada tahun 2025, Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang telah mengesahkan bahawa lafaz rujuk yang berlaku pada tahun 2016 itu adalah sah. Maka secara hukum, ibu dan ayah saya masih merupakan pasangan suami isteri yang sah sejak rujuk itu dilafazkan.
Persoalan utama:
Adakah dengan pengakuan ayah saya pada tahun 2021 bahawa beliau telah bercerai dengan isteri lamanya iaitu ( ibu saya), yang dibuat atas dasar tidak mengetahui bahawa rujuk 2016 itu sah, boleh menyebabkan jatuhnya talak yang baru ke atas ibu saya ?
Mohon penjelasan lanjut dari sudut hukum syarak berkenaan status talak atau perkahwinan ini. Memandangkan lafaz rujuk ini telah disahkan sah oleh mahkamah syariah pada tahun 2025 tetapi si suami telah membuat pengakuan berpisah pada tahun 2021.
Sekian, saya dahului dengan ucapan terima kasih atas perhatian dan pandangan daripada pihak mufti .
Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, seandainya seorang lelaki (suami) mengatakan dengan lafaz yang sorih atau jelas contohnya "saya telah ceraikan isteri saya", "saya telah bercerai dengan isteri" atau apabila ditanya adakah dia telah menceraikan isterinya lalu dia menjawab "ya", walaupun dia berbohong, maka pada pandangan Jumhur Ulama mengatakan dari segi zahir ataupun undang-undang talak boleh berlaku.
Namun perkhabaran atau pemberitahuan suami bahawa dia telah bercerai dengan isterinya dalam keadaan dia tidak mengetahui bahawa isterinya masih lagi isteri yang sah, mungkin tidak memberikan sebarang kesan kepada ikatan perkahwinan.
Walau bagaimanapun, memandangkan pihak yang berautoriti atau berbidangkuasa di dalam menentukan sesuatu penceraian itu berlaku atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sekian, terima kasih