Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum kepada berkenaan,
Saya ingin kefahaman yang jelas terhadap masalah yg saya hadapi. Saya baru sahaja 5 bulan berkahwin. Dan kami telah mengalami pergaduhan yang besar ketika di dalam kereta, dimana dalam situasi yang tegang isteri saya bernekad untuk keluar dari kenderaan saya yang sedang bergerak. Jadi saya berfikiran soal keselamatan isteri saya dan saya mengeluarkan kata 'jika awak keluar dari kereta ini kita berpisah,.
Persoalannya adakah kata saya tu dikira jatuh talik dan adakah hubungan kami terbatal? Niat saya bukan untuk berpisah tetapi demi untuk keselamatan isteri saya yang ingin melompat keluar dari kenderaan. Mohon pencerahan, terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan :
Lafaz tuan kepada isteri: "jika awak keluar dari kereta ini kita berpisah", adalah kenyataan berbentuk khabari atau suami menyatakan hasrat jika isteri keluar kereta mereka akan berpisah, maka ia tidak membawa kepada berlakunya lafaz taklik talak. Tambahan pula suami tidak berniat talak ketika melafazkan perkataan tersebut. Lafaz tersebut juga tidak dianggap sebagai lafaz talak yang menyebabkan talak berlaku dengan serta merta.
Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut tuan boleh mengajukan perkara ini kepada Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah tempat di mana tuan tinggal untuk mendapatkan pandangan serta penjelasan lanjut.
Adalah disarankan agar suami tidak mudah untuk mengugut isteri dengan kata-kata sedemikian dibimbangi boleh berlaku talak atau taklik talak jika lafaz yang digunakan adalah sorih atau jelas, yang membawa kepada penyesalan pada masa hadapan.
Sekian, terima kasih