Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Situasi Ayah pesara komando umur 66 tahun, pesakit mental Ibu berniaga Ibu menolak untuk menjaga ayah sepenuh masa, saya menjaga ayah sekarang, gaji hanya cukup-cukup makan. Sebagai pesara tentera ayah ada menerima pencen bulanan. Ibu tidak membenarkan saya mengambil wang tersebut dengan alasan ayah adalah tanggungjawab kami (kami sedia maklum dan bersedia untuk jaga, cuma ada masalah kewangan). Walaupun tidak sepenuhnya, kami berharap dapat separuh daripada wang pencen untuk tujuan ubatan dan lampin pakai buang ayah. Tetapi ibu menolak sekerasnya dengan alasan wang pencen adalah hak nya sebagai isteri. Disini saya ada kemusykilan, betulkah hak pencen suami jatuh pada isteri 100% walaupun si suami masih ada dan masih memerlukan wang untuk kelangsungan hidup? sedangkan isterinya sendiri menolak untuk menjaga beliau. Saya keliru. Hak bagaimana yang dituntut sebenarnya, adakah nafkah zahir? Wajibkah seorang suami yang tidak waras menafkahi isterinya? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, ibu puan sepatutnya mengurus wang pencen tersebut untuk keperluan ayah yang sedang sakit dan keperluan isi rumah serta tanggungan yang ada dan bukannya menggunakan sepenuhnya wang pencen tersebut untuk kepentingan peribadi. Dalam hal ini, ibu puan hanya layak untuk mengambil sekadar keperluan hidupnya sahaja mengikut kepada kemampuan ayah sebagai pemberi nafkah. Adalah dinasihatkan supaya puan melaporkan perkara ini kepada pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan Malaysia VETERAN Cawangan Negeri Johor untuk memastikan puan mendapat maklumat yang jelas berkaitan situasi yang dihadapi sekarang, seterusnya memastikan kebajikan ayah puan dipelihara. Segala usaha puan dalam menjaga keperluan ayah termasuk dalam perkara yang amat dituntut dan disukai oleh Allah SWT iaitu berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Sila layari laman web VETERAN di http://www.jhev.gov.my/ms/hubungi-kami/alamat/cawangan untuk maklumat lanjut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.