Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbth
Pertanyaan saya bukan kerana saya nak berkawin lagi, tetapi lebih kepada saya yang telah merasakan tekanan yang hampir membuatkan saya separuh gila semasa di alam perkawinan oleh suami saya seorang NPD dan setelah diceraikan, saya perlu lalui eddah yang saya tidak tahu bila penghujungnye(dalam proses pre menopause di mana period saya tidak tau datang atau tidak serta tidak tau tarikh bila datang period), bersama dengan tekanan dari orang sekeliling yang melabel saya berdosa besar kerana telah melanggar hukum Allah, kerana keluar untuk belajar ilmu agama iaitu kursus haji dan kuliah-kuliah fardu ain serta keluar makan dengan kawan-kawan wanita yang memberi sokongan mental dan sokongan moral kepada saya untuk kembali sembuh dari tekanan sebelum dan selepas perkahwinan sewaktu masih dalam eddah sekarang ni. Saya amat yakin agama saya iaitu agama islam bukan agama yang zalim yang menghukum kami perempuan-perempuan yang telah di layan sewaktu di alam perkahwinan dan di ceraikan secara zalim secara tidak adil oleh manusia yang jahil tentang hukum hakam agama islam yang lurus dan benar.
Saya perempuan berumur 53 tahun.
Period saya yang terakhir yang lepas pada 12/6/2025. Haid saya tidak teratur kerana saya dalam proses pre menopause.
Pada 9/10/2025 keluar darah yang sedikit tapi tak seperti period saya yang biase saya alami dulu di mana kali ini hanya dalam bentuk tanda merah cair sahaja di pads, dan pada 10/10/2025 darah masih tidak keluar seperti dulu dan hanya keluar dalam bentuk lendir cairan merah jike saya buang air kecil sahaja dan begitu juga dengan 11/10/2025 pagi sama seperti 10/10/2025 sehingga petang 11/10/2025 baru darah merah keluar dan pada 12/10/2025 darah keluar seperti petang 11/10/2025.
Saya di ceraikan dengan kuasa hakim yang menjatuhkan saya dengan talak 1 di dewan mahkamah pada 3/9/2025 setelah suami saya melafazkan cerai secara lafaz kinayah di rumah pada 17/8/2025 (Tarikh cerai saya berkuatkuasa).
Petanyaan saya, bilakah saya akan habis eddah ? Terima kasih dan semoga Allah membalas segala usaha kalian yang membantu kami dengan syurga firdausi tanpa hisab.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tempoh iddah bagi wanita yang masih didatangi haid adalah 3 kali suci. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 228:
وَٱلۡمُطَلَّقَـٰتُ یَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَـٰثَةَ قُرُوۤءࣲۚ
Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).
Sebagaimana kenyataan puan, tarikh haid terakhir adalah pada 12/6/2025. Manakala pada 17/8/2025 tarikh cerai berkuatkuasa. Justeru, selepas tarikh ini maka bermulalah tempoh iddah puan. Jika semasa tarikh cerai itu puan berada dalam keadaan suci, masa ia dikira sebagai suci yang pertama. Bermakna puan perlu menunggu 2 kali suci lagi.
Oleh kerana berlaku pendarahan bermula pada 9-12/10/2025 tempoh ini boleh dikategorikan sebagai haid. Apabila telah suci daripada haid, maka ia dikira suci yang kedua. Berbaki 1 kali suci bagi menyempurnakan tempoh iddah puan sebanyak 3 kali suci.
Sekian, terima kasih.