Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Saya ingin memohon penjelasan dan pandangan pihak tuan berhubung beberapa persoalan yang menimbulkan keraguan terhadap status perkahwinan saya dengan isteri.
1) Saya dan isteri pernah bergaduh besar akibat masalah kewangan hingga terjerat dengan ahlong. Disebabkan ketakutan yang amat sangat, isteri saya telah mendesak berulang kali agar saya melepaskannya kerana tidak mahu terlibat atau diganggu oleh ahlong. Akibat tekanan dan desakan tersebut, saya telah berkata “saya lepaskan awak” dengan niat untuk menenangkan dan meredakan ketakutannya, bukan dengan niat untuk menceraikan. Saya ingin mendapatkan kepastian sama ada lafaz tersebut dikira sebagai talak.
2) Isteri saya pernah meminta saya bersumpah bahawa akan jatuh talak sekiranya saya menyembunyikan sesuatu perkara daripadanya. Namun pada masa itu, saya ada menyembunyikan maklumat berkaitan pinjaman kewangan daripada PWB. Ketika berlaku pertengkaran mengenai kewangan, saya telah menjelaskan perkara sebenar dan isteri saya mengatakan bahawa saya telah melanggar sumpah tersebut. Saya ingin mendapatkan penjelasan sama ada talak berlaku dalam keadaan ini.
3) Dalam satu lagi pertengkaran di kawasan bazar mengenai masalah tidak dapat pinjaman untuk selesaikan hutang ahlong, isteri saya bekali-kali mendesak supaya saya melepaskannya kerana masih takut dengan gangguan ahlong. Dalam keadaan tertekan, saya telah terlepas kata “saya lepaskan awak” dengan tujuan menenangkan keadaan. Saya juga ingin mendapatkan kepastian sama ada lafaz tersebut dianggap jatuh talak.
Kini, segala masalah berkaitan ahlong telah selesai dengan bantuan isteri. Namun begitu, kami masih ragu tentang status perkahwinan kami sama ada talak telah jatuh atau tidak.
Saya amat berharap pihak tuan dapat memberikan penjelasan dan panduan sewajarnya berhubung perkara ini.
Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan :
1. Lafaz “saya lepaskan awak” adalah merupakan lafaz kinayah iaitu lafaz yang boleh membawa maksud talak dan juga makna lain selain talak. Jika suami berniat talak ketika melafazkan lafaz tersebut, maka boleh menyebabkan jatuh talak; dan jika tidak berniat, maka talak tidak jatuh.
Oleh yang demikian, sekiranya tuan ketika melafazkan lafaz tersebut tidak berniat untuk menceraikan isteri atau talak isteri tetapi hanya sekadar untuk menenangkan dan meredakan ketakutan isteri, maka talak tidak jatuh.
2. Sumpah suami yang mengatakan bahawa jika dia menyembunyikan sesuatu maka akan jatuh talak, dibimbangi boleh membawa kepada berlakunya taklik talak. Walau bagaimanapun memandangkan pihak yang berautoriti di dalam menetapkan suatu lafaz taklik talak itu sah atau tidak adalah pihak Mahkamah Syariah, maka disarankan agar perkara ini diajukan kepada pihak Mahkamah Syariah terdekat untuk mendapatkan pengesahan.
3. Situasi ini jawapannya boleh rujuk kepada soalan no (1) di atas.
Adalah dinasihatkan agar tidak mudah untuk melafazkan ucapan talak, bimbang akan membawa kepada penyesalan pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih