BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam Ustad, 

Adakah wuduk sah jika terdapat bulu. Adakah sah jika hanya air dilalukan atau perlu saya ratakan dengan tangan kerana saya merisaukan yang wuduk saya itu terhalang dengan bulu. Ataupun tidak wajib ratakan dengan tangan Dan cukup dengan sekadar membiarkan air lalu. 

Seterusnya di bahagian bawah cuping telinga perlukah saya menggosoknya dengan air juga ketika berwuduk. Atau kawasan tersebut tidak dikira sebagai kawasan muka anggota wuduk.

Minta ustad jelaskan kawasan muka yang perlu kena air.

Selain itu, adakah celah2 jari itu perlu digosok atau cukop sekadar air lalu kerana saya risau tidak terkena air. Celah kaki Dan tangan. Saya was was Dan risau wuduk saya tidak sah.

Akhir sekali, bagaimana jika saya makan masak lemak atau kali yang membuatkan warna kuku saya kuning, perlukah saya mencucinya sehingga hilang warna, sebab terkadang ianya sukar, perlu digosok bawah kuku dengan sabun sehingga tiga kali Baru bersih. Atau tidak mengapa. Ia bukanlah bendasing seperti cili atau sisa makanan. Saya sudah buang terlebih dahulu. Akan tetapi jika gunakan air sahaja kuku memang akan ikut warna kuah lau. Mohon pencerahan ustad.

Akhir sekali saya selalu merasakan seperti ada tahi telinga di dalam telinga. Atau minyak di dalam telinga. Adakah sah mandi wajib jika lalukan air sahaja kerana ia berasal dari tubuh? Atau saya perlu membersihkannya? Kerana ia perlu dibasuh dengan sabun sehingga 3 ke 4 kali barulah betul2 hilang. Atau cukop sekadar basuh dengan air? Atau cukup dengan sekali basuhan sabun? Mohon pencerahan ustad. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, sah wuduk walaupun ada bulu pada muka, tangan, atau kaki. Selagi air dapat sampai ke kulit atau ke hujung bulu yang tumbuh di anggota wuduk. Ini kerana bulu bukan penghalang air dan air boleh menyerap dan mengalir di celah-celahnya. Hukum menggosok anggota wuduk setelah mengenakan air ke anggota wuduk adalah sunat. Justeru, sekiranya seseorang yang berwuduk sekadar mengenakan air kepada anggota wuduknya seperti meletakkan tangan atau kaki di bawah air paip, maka wuduknya adalah sah. Namun, sekiranya tanpa menggosok anggota badan semasa wuduk akan menyebabkan air tidak kena kepada anggota tersebut, maka dalam keadaan ini hukum menggosok anggota wuduk atau badan tersebut adalah wajib.

Bahagian bawah cuping (yang melengkung ke bawah) sudah termasuk dalam kawasan telinga, bukan muka. Maka tidak wajib dibasuh waktu membasuh muka, tetapi disunatkan semasa menyapu kepala atau telinga. Kawasan muka yang wajib kena air adalah dari tempat tumbuh rambut biasa di kepala (atas dahi) hingga ke bawah dagu, dan dari anak telinga kanan hingga anak telinga kiri.

Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, perbuatan menggosok anggota wuduk untuk meratakan air adalah termasuk dalam kategori perkara-perkara sunat ketika berwuduk. Justeru itu, hukum menggosok celah-celah jari adalah sunat. Justeru, sekiranya seseorang yang berwuduk sekadar mengenakan air kepada anggota wuduknya seperti meletakkan tangan atau kaki di bawah air paip, maka wuduknya adalah sah. Namun, sekiranya tanpa menggosok anggota badan semasa wuduk akan menyebabkan air tidak kena kepada anggota tersebut, maka dalam keadaan ini hukum menggosok anggota wuduk atau badan tersebut adalah wajib.

Berkaitan kotoran di bawah kuku pula, pada kebiasaannya adalah disebabkan dari benda kotor asing dan bukan dari tindakbalas semulajadi badan, maka wajib untuk menghilangkannya terlebih dahulu sebelum berwuduk dan mandi wajib. Jika hanya warna yang melekat tanpa lapisan tebal (sekadar kesan), tidak perlu digosok kuat atau guna sabun berkali-kali. Wuduk tetap sah selagi warna itu bukan benda fizikal yang menghalang air.

Sah mandi wajib selagi air sampai ke bahagian luar telinga (cuping, lekuk luar). Bahagian dalam lubang telinga tidak wajib dicuci hingga ke dalam.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 20

message user image