Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Tahun 2016 saya ada melakukan umrah Dan ada buat niat bersyarat di miqat, namun ketika niat ada rasa cecair keluar, selepas itu saya terus buat tawaf , saei dan bertahalul. Setelah pulang ke hotel, ada kesan coklat/spot di seluar. Adakah tawaf tu sah atau tidak. Selepas itu tidak ada buat tawaf lagi sbb tu tawaf kali ke-3 sebelum balik malaysia .Adakah tawaf tu batal ? Adakah cairan tu dikira najis kerana selepas ada cairan keluar tu tak berisinjak. Adakah dikenakan dam unta? Berlaku pada tahun 2016 dan pada 2019 ada buat umrah lagi.
Jika sudah lama semua pantang larang ihram dan di langgar kena bayar setiap kesalahan ke ustaz? Kalau dah banyak pantang larang ihram saya buat banyaklah dosa saya. Macam mana nak kira semua dam-dam yang saya kena bayar.
Terima kasih ustaz, mohon berikan jawapan berapa byk perlu dibayar dam kerana sudah lama.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, dengan beranggapan bahawa niat yang dibuat bermaksud: "jika aku haid, maka aku menjadi halal", dan haid itu datang setelah selesai niat dilakukan. Ini bermakna dengan keluarnya haid, menjadikan puan halal (terbatal atau terhenti dari ibadah umrah) secara serta-merta dan terlepas dari segala larangan ihram. Oleh itu, tidak timbul isu perlu membayar dam, kerana puan dianggap telah bertahallul. Namun perbuatan, puan memasuki Masjidil Haram serta melakukan tawaf dalam keadaan berhadas besar merupakan suatu dosa dan wajib bertaubat. Lebih-lebih lagi puan melakukan perkara itu dalam keadaan puan sedar atau merasai telah keluar cecair dari kemaluan. Kita perlu prihatin dalam perkara ibadah kerana ia melibatkan sah atau tidak suatu ibadah dan kadang-kala melibatkan perkara dosa dan maksiat kepada Allah swt jika tidak dilakukan dengan betul.
Sekian. Terima kasih.